BERNAMA

Ancaman Covid-19 belum berakhir sepenuhnya, namun rakyat kini berasa sedikit lega selepas kerajaan menarik balik hampir keseluruhan sekatan yang dikenakan terhadap semua sektor dalam usaha mengekang musuh halimunan itu sebelum ini.

Ekonomi Malaysia yang hampir lumpuh akibat sekatan pergerakan selama dua tahun itu, kini bertatih untuk kembali mara, dan bagi sektor pelancongan yang juga aktiviti ekonomi paling teruk terjejas, April 2022 memberikan nafas baharu kepada sektor berkenaan apabila sempadan negara dibuka semula.

Pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lalu yang juga antara persediaan ke fasa endemik, menyaksikan ketibaan pelawat asing ke negara ini dan peningkatan tempahan pakej pelancongan yang seharusnya dimanfaatkan pemain industri.

Segmen pelancongan kesihatan khususnya, perlu mencari jalan terbaik bagi menampung kerugian dua tahun lalu, kerana Covid-19 tiba di negara ini ketika permulaan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 yang menyasarkan pendapatan RM2 bilion dengan impak limpahan bernilai RM6 bilion.

Pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Prof Madya Dr Azila Azmi berkata, segmen pelancongan kesihatan negara berpotensi melonjak dengan pantas pasca Covid-19 berdasarkan arah terkini aliran pelancongan dunia.

Beliau berkata, ini kerana semua ramuan ke arah itu tersedia dan pengusaha hanya perlu mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari landasan sebelum Covid-19.

"Kualiti industri pelancongan perubatan Malaysia diperakui di peringkat dunia. Buktinya, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) pernah menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa sejak 2011, antaranya ialah Asia Pacific Healthcare and Medical Tourism Awards pada 2017 hingga 2021.

"Selain itu, MHTC juga meraih anugerah daripada International Medical Travel Journal pada Medical Travel Awards dari 2015 hingga 2020. Ini membuktikan kecekapan MHTC sebagai agensi yang memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia," katanya.

Bukti keampuhan segmen pelancongan kesihatan Malaysia juga dapat dilihat menerusi ketibaan pelawat, misalnya bagi 2019 sahaja, kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan tiba di negara ini.

Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan negara lain di rantau Asia Tenggara.

Menurut Azila, antara faktor yang mendorong mereka memilih Malaysia ialah kualiti perkhidmatan yang ditawarkan dan disokong oleh harga mampu milik selain mudah diakses.

"Lokasi Malaysia dan kemudahan akses dari segi laluan penerbangan juga menjadi penyebab mereka cenderung ke negara ini. Ini membuktikan Malaysia sangat signifikan dalam pelancongan kesihatan dan pembukaan semula sempadan negara langkah kita kembali ke pelan asal," katanya.

Beliau yang percaya sektor pelancongan kesihatan Malaysia akan dapat kembali ke era kegemilangan pra-Covid secara bertahap, mengakui, antara pendekatan yang perlu diambil oleh pihak berkepentingan ialah menyusun semula kerjasama sesama mereka berpaksikan jaminan keselamatan.

"Pemain industri perlu lebih peka tentang isu keselamatan berikutan dapatan Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) membuktikan permintaan dan keutamaan pelancong telah berubah semasa pandemik.

"Pelancong kini cenderung memilih tempat pelancongan selesa, selamat dan dipercayai, sebab pelancong menitikberatkan aspek keselamatan dan perlindungan," katanya.

Justeru, katanya, jaminan keselamatan harus berada di peringkat tertinggi.

"Pelawat mahu mengubati sakit mereka dengan rasa tenang, tanpa khuatir akan dijangkiti Covid-19 sepanjang berada di Malaysia. Keutamaan ini wajar berada di lapisan teratas mengikut kasta kepentingan semasa memandangkan virus ini masih wujud dan kadar kebolehjangkitan serta tahap keseriusan yang akan diterima oleh setiap individu adalah berlainan," katanya.

Selain itu, kata Azila pelancong juga semakin cenderung menggunakan transaksi tanpa sentuhan sebagai sebahagian daripada pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar.

Beliau turut mengesyorkan supaya pemain industri terus mempergiat pendekatan secara maya di samping perkhidmatan secara bersemuka.

Pendekatan 'menjaga' pesakit dari luar menggunakan kemudahan digital seperti e-farmasi dan khidmat dalam talian terbukti efektif dari segi penjimatan masa dan tenaga serta mampu melonjakkan minat pelawat perubatan untuk hadir secara fizikal selepas menerima rundingan dalam talian.

"Syaratnya, pendekatan secara maya ini mestilah mesra pelanggan, tidak menyukarkan pelanggan dengan kerenah birokrasi berlebihan dan menjimatkan masa," katanya.

Pada masa sama, Azila berkata Malaysia juga harus mempergiat promosi industri pelancongan kesihatan melalui dalam talian, meningkatkan kecekapan proses permohonan dan saringan pesakit antarabangsa serta mengeratkan hubungan dengan pihak berkepentingan supaya industri itu akan segera bangkit.

Berhubung kemasukan pelancong ke negara ini, beliau berkata Malaysia menjangkakan jumlah pelancong meningkat seiring dengan keadaan semasa.

"Biarpun pada 2020 di kala dunia dilanda pandemik, Malaysia masih mampu merekodkan kedatangan pelancong sekitar 4.33 juta orang. Angka yang rendah namun munasabah," katanya.

Malaysia memang terkenal dengan perkhidmatan rawatan dalam bidang persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi dan saringan kesihatan umum.

Selain itu, Malaysia turut popular dengan perkhidmatan rawatan estetik dan kosmetik seperti pembedahan kosmetik, rawatan pergigian serta rawatan laser mata.

Katanya, biarpun Thailand lebih terkenal dalam perawatan estetik, Malaysia sebagai negara Islam membuatkan pelancong kesihatan (Muslim terutamanya) lebih yakin dengan prestij Malaysia.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga senada dalam keyakinan terhadap pemulihan subsektor pelancongan perubatan negara.

Tegasnya, Malaysia perlu memanfaatkan trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan pelawat perubatan berpotensi berbelanja tiga kali ganda berbanding pelancong biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 6:00 AM