GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Rancangan kerajaan untuk menguatkuasakan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini dilihat oleh banyak pihak sebagai satu keputusan tepat seiring situasi semasa ekonomi, namun ada beberapa polemik yang harus dituntaskan terlebih dahulu sekiranya mahu dasar itu mencapai matlamatnya.

Dari segi majikan, mereka tertanya-tanya sama ada penguatkuasaan itu merentasi semua sektor sedangkan ada antara mereka yang terjejas teruk semasa penularan Covid-19 dan masih terkial-kial meneruskan kelangsungan operasi.

Bagi pekerja pula, mereka ingin tahu sama ada dasar baharu tersebut turut melibatkan mereka yang pada masa ini menerima gaji minimum RM1,200.

Mengupas persoalan itu, beberapa penganalisis ekonomi berkata kerajaan sewajarnya segera menjalankan kajian menyeluruh merangkumi aspek keupayaan kewangan majikan dan impak ke atas pekerja, sebelum pelaksanaan dasar itu.

Dr Nur Hafizah Ismail daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dihubungi Bernama, berkata walaupun pelaksanaan kadar gaji minimum satu keperluan yang dilaksanakan di kebanyakan negara, kerajaan wajar menimbang semula penguatkuasaannya terhadap beberapa sektor.

Ini kerana, katanya, sektor seperti pelancongan dan hospitaliti serta penerbangan terjejas teruk semasa kemuncak pandemik Covid-19 dan kini semua dalam fasa pemulihan.

Sektor terbabit perlu diberikan ruang untuk bernafas memandangkan sempadan negara hanya dibuka semula pada 1 April ini, jelas pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM itu.

Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan mengambil kira beberapa aspek seperti tahap kemahiran, pengalaman, prestasi serta taraf pendidikan pekerja dalam pelaksanaan dasar tersebut.

"Penilaian syarat berkaitan kemahiran, pengalaman amat penting kerana ia secara tidak langsung turut sama mempengaruhi tawaran gaji kepada pekerja itu," jelasnya.

Difahamkan Kementerian Sumber Manusia sedang memperincikan model serta kaedah pelaksanaan perintah gaji minimum 2022 termasuk menentukan jenis perusahaan, pekerjaan dan penggajian yang boleh melaksanakan perintah gaji minimum secara berperingkat.

Pada masa sama, Nur Hafizah turut melahirkan kebimbangan kemungkinan peningkatan pengangguran akibat kenaikan kadar gaji minimum tersebut.

"Kenaikan kadar gaji minimum sebenarnya akan memberi kesan kepada kos tenaga kerja (kos tenaga buruh) iaitu antara kos penting operasi syarikat atau perniagaan dan ini akan memberikan impak tidak langsung terhadap pekerjaan.

"Ini kerana mungkin ada syarikat yang akan memberhentikan pekerjanya untuk mengekalkan (margin) keuntungan. Jadi kerajaan harus bertindak tegas bagi memastikan tidak ada majikan mengambil kesempatan menggunakan alasan penetapan gaji minimum untuk buang pekerja," katanya.

Berdasarkan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732), majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan perintah gaji minimum boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata Akta 732 memberi kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan berhubung pelaksanaan gaji minimum.

"Aktiviti penguatkuasaan ini bukan sahaja dijalankan kepada pihak industri tetapi turut merangkumi semua majikan swasta di Malaysia termasuk GLC," katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pelaksanaan kadar baharu gaji minimum wajar diutamakan kepada syarikat yang beroperasi di bandar besar yang sinonim dengan kos sara hidup tinggi.

Ini bagi mengimbangi kadar gaji dan kos sara hidup pekerja memandangkan garis kemiskinan nasional bagi sebuah isi rumah ialah pada RM2,208, katanya.

"Untuk satu keluarga, jika seorang sahaja bekerja dengan pendapatan RM1,500, mereka masih berada di bawah garis kemiskinan dan kita kena akui mereka yang bekerja di bandar serta menerima upah di bawah RM1,500 adalah sangat tidak relevan," jelasnya.

Sekalipun perbezaan RM300 di antara kadar lama dan baharu itu tidak begitu besar khususnya untuk golongan B40 di bandar, jumlah berkenaan masih mampu meningkatkan kuasa beli mereka.

Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada pendapatan isi rumah dan dilaporkan kadar kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus pada 2020 berbanding 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Justeru, kadar baharu gaji minimum adalah komitmen kerajaan untuk membantu mengimbangi kos sara hidup dan pendapatan golongan B40 khususnya di bandar, selaras konsep Keluarga Malaysia.

Ahmed Razman juga berkongsi pandangan dengan Nur Hafizah agar kerajaan tidak melaksanakan kadar baharu gaji minimum secara pukul rata.

Sebaliknya beliau mahu kerajaan mendahulukan penguatkuasaan dasar itu kepada sektor atau syarikat besar yang tidak terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila diumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500, kita melihat ia satu langkah penambahbaikan dari kerajaan, namun pelaksanaannya tidak boleh pukul rata.

"Apabila ia dikuatkuasakan dahulu kepada syarikat besar dan GLC, ia seharusnya tertakluk kepada syarikat yang mempunyai keupayaan sumber kewangan dan tidak terjejas teruk operasinya kesan daripada pandemik," katanya.

Bagi usahawan, Pengurus MHP Enterprise Musleha Zainuddin memohon kerajaan tidak menguatkuasakan kadar baharu gaji minimum itu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, ini kerana usahawan PKS tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.

"Misalnya syarikat yang produknya berasaskan makanan seperti kami memang sukar hendak tetapkan gaji minimum memandangkan ada masa keuntungan kami lebih dan ada masa sekadar cukup makan saja.

"Semasa PKP, memang perniagaan merudum sedikit dan baru sekarang kami berganjak ke arah pemulihan operasi dan keuntungan kami juga bergantung pada musim. Malah, saya sebagai pengurus ada masa terpaksa berkorban potong gaji sendiri supaya dapat bayar gaji pekerja," katanya yang mengusahakan perniagaan Bahulu Masri di Sekinchan, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:00 AM