Hal yang berkaitan dengan cabaran dan risiko yang terpaksa kita hadapi, maka Allah SWT menganjurkan supaya kita menyerahkan segala urusan itu kepada-Nya selepas berusaha dan yakin dengan perancangan yang dilakukan.
Hal yang berkaitan dengan cabaran dan risiko yang terpaksa kita hadapi, maka Allah SWT menganjurkan supaya kita menyerahkan segala urusan itu kepada-Nya selepas berusaha dan yakin dengan perancangan yang dilakukan.
minda

Persediaan berdepan segala kemungkinan adalah suatu keperluan dalam menghadapi apa jua cabaran terutama apabila menghadapi sesuatu isu besar. Contohnya, apabila berhadapan dengan sesuatu ujian dalam kehidupan. Kaedah mencegah lebih baik daripada mengubati lebih baik jika boleh dilakukan. Itulah pepatah yang selalu kita dengar. Daripada perspektif Islam orang yang sentiasa bersedia ialah orang yang bijak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang bijak (al-kayyis) adalah orang yang sentiasa mempersiapkan diri (bersedia) dan beramal untuk hari selepas kematian (akhirat). Manakala, orang yang bodoh ialah orang yang jiwanya sentiasa mengikut hawa nafsu dan hanya berangan-angan kepada Allah." (Riwayat Tirmizi)

Dalam menghadapi situasi yang menuntut kita membuat persediaan rapi, pastinya suatu cabaran yang tidak mudah dihadapi. Tambahan, jika lebih daripada satu perkara yang terpaksa dihadapi pada satu-satu masa. Contoh yang paling dekat dengan kita sekarang ialah persediaan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada awal bulan hadapan.

Situasi ini amat mencabar lantaran tanpa disangka penularan kes jangkitan wabak Covid-19 semakin mengganas. Mengikut pernyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini bahawa kita memerlukan masa satu hingga dua bulan untuk melandaikan semula keluk penularan ini. Sudah pasti menjadi keresahan kepada calon peperiksaan yang penting seperti SPM, STPM dan STAM ini, khususnya kepada calon yang tinggal di asrama. Sebagaimana yang diketahui, penularan sangat cepat berlaku dalam kes pelajar yang tinggal di asrama di samping peningkatan kes juga berlaku di sekolah harian biasa. Cabaran sama juga dihadapi pihak sekolah dalam memastikan semua calon tidak akan terganggu dalam menghadapi peperiksaan itu.

Berdasarkan laporan di media massa bahawa penularan kes Covid-19 ini yang banyak berlaku dalam kluster pendidikan pada hari ini adalah kes yang di luar jangkaan dan agak tidak terkawal. Mungkin varian Omicron ini yang dikatakan penularan berlaku lebih mudah walaupun gejalanya agak kurang berbanding dengan varian Delta sebelum ini.

Namun, jangkitan kepada pelajar calon peperiksaan sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan mereka dalam menghadapi hari-hari terakhir sebelum menduduki peperiksaan yang sebenar. Ada pelajar yang dikesan positif di samping ramai yang terbabit sebagai kontak rapat yang terpaksa dikuarantin.

Suasana di tempat kuarantin sama ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) ataupun di rumah sekalipun akan sedikit sebanyak mengganggu emosi dan konsentrasi pelajar dalam mengulang kaji pelajaran.

Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan kuarantin di rumah bagi pelajar positif dan bergejala tidak dinafikan sedikit sebanyak akan membantu calon dan ibu bapa bagi memastikan anak mereka berada dalam keadaan terkawal. Namun, berapa ramai ibu bapa yang juga menghadapi masalah lain apabila pelajar ataupun calon yang dikesan positif atau kontak rapat ini berada di rumah? Khususnya, kepada ibu bapa yang bekerja.

Menyediakan bilik berasingan dan mematuhi SOP yang berkaitan juga sudah semestinya menjadi cabaran besar kepada ibu bapa. Walaupun keadaan ini sudah pasti akan ditangani oleh ibu bapa dengan apa cara sekalipun, tetapi cabaran seperti implikasi kewangan dan masa serta mematuhi SOP supaya anak-anak mereka yang dikuarantin di rumah terjamin keselamatan mereka juga akan membebankan ibu bapa.

Kita mengakui pihak sekolah juga menghadapi cabaran untuk menyediakan bilik berasingan kepada calon yang dikuarantin.

Tetapi, masalah ini mesti diatasi. Dalam masa kurang sebulan ini, jalan penyelesaian hendaklah dicari oleh semua pihak berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KKM bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan pada tahun ini. Pelajar sudah pasti mengharapkan mereka akan menghadapi peperiksaan dalam keadaan yang cukup bersedia dan bebas daripada gangguan seperti masalah kesihatan dan suasana yang tidak selesa.

Oleh itu, semua pihak perlu merancang daripada sekarang untuk memastikan semua calon bebas daripada wabak Covid-19 dengan mengambil langkah pencegahan daripada sekarang. Jika dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini perancangan dilaksanakan dengan baik, maka apabila tiba tarikh sebenar peperiksaan nanti keadaan akan lebih terkawal dan jumlah calon yang terbabit dengan kes Covid-19 ini diharapkan pada tahap yang paling minimum. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah yakin dengan anjuran Allah SWT supaya berusaha termasuk untuk menghadapi peperangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Bermakna, untuk menghadapi apa jua situasi, kita hendaklah sentiasa membuat persediaan yang rapi termasuk dalam menghadapi peperangan. Peperiksaan juga seolah-olah medan peperangan bagi calon yang menghadapinya.

Oleh itu, kita hendaklah bersedia dengan rapi.

Adapun yang berkaitan dengan cabaran dan risiko yang terpaksa kita hadapi, maka Allah SWT menganjurkan supaya kita menyerahkan segala urusan itu kepada-Nya selepas berusaha dan yakin dengan perancangan yang dilakukan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:00 AM