FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

IKLAN dan promosi adalah aktiviti yang sangat penting untuk menarik perhatian serta menambat hati pembeli di samping melariskan perniagaan. Namun, mutakhir ini penggunaan pelbagai taktik pemasaran di media sosial yang dilihat kurang beretika dan melanggar budaya serta norma kehidupan masyarakat kita cukup membimbangkan.

Taktik segelintir peniaga yang berpaksikan konsep sanggup buat apa saja asalkan produk jualan mereka laku di pasaran tidak wajar diamalkan. Budaya seperti mempamerkan foto berunsurkan elemen lucah, penggunaan bahasa rojak serta kata-kata kesat atau tidak sopan, berpakaian mencolok mata serta merokok ketika bersiaran langsung di pelbagai platform media sosial seperti Facebook atau Instagram adalah antara sikap serta tingkah laku yang dapat kita lihat pada hari ini.

Hakikatnya platform media sosial adalah ruang yang terbaik untuk kita membuat promosi dan memasarkan produk mahupun perkhidmatan khususnya dalam era perniagaan dalam talian atau e-dagang mula menjadi trend dalam kalangan pengguna. Namun, penyalahgunaan platform ini daripada segi melanggar etika pengiklanan serta budaya masyarakat kita tidak wajar dikompromi atau dibiarkan terus berleluasa.

Penggunaan bahasa rojak, lucah dan kesat misalnya bukan saja mencemarkan bahasa kebangsaan, tetapi turut menjadi teladan tidak baik kepada anggota masyarakat terutama golongan muda yang melayari iklan berkenaan melalui media sosial masing-masing. Hal ini sangat serius kerana golongan muda adalah kumpulan sasaran utama penjual ini, jadi kita khuatir sikap dan tingkah laku penjual yang tidak sopan serta tak beretika akan menjadi ikutan anak muda kelak.

Tidak salah untuk kita berfikir di luar kotak dan kreatif ketika menggunakan media sosial dalam usaha menarik perhatian pembeli, tetapi janganlah sampai perlu menggadai maruah mahupun mempertontonkan tingkah laku yang tidak wajar di khalayak ramai.

Sebagai penjual, kita tidak boleh fokus kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya wajar juga memberi perhatian kepada aspek tanggungjawab moral dan sosial dalam masyarakat. Kita tidak mahu peniaga yang tamak dan mementingkan diri seperti ini merosakkan nilai murni yang menjadi pegangan dan amalan kehidupan seharian rakyat.

Oleh itu, kita amat berharap penjual seperti ini akan menilai semula taktik pengiklanan yang sedang dilakukan melalui media sosial kerana percayalah ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan dan jangan sama sekali berpaksikan budaya matlamat menghalalkan cara.

Patuhilah kod etika pengiklanan di media sosial atau dalam talian dengan sewajarnya supaya semua lapisan anggota masyarakat dapat menerima dengan seadanya. Antara kod yang wajar dipatuhi ialah semua jenis iklan mesti selaras dengan budaya dan kerukunan hidup rakyat Malaysia. Misalnya, penjual mestilah jujur dan tidak boleh menipu pengguna dengan maklumat yang tidak tepat, tidak menggunakan unsur lucah baik daripada segi ayat mahupun foto, berpaksikan undang-undang negara serta tiada keperluan untuk menonjolkan budaya dan amalan kehidupan luar yang tidak selari dengan budaya kita.

Malah, kandungan iklan serta ayat yang digunakan ketika membuat promosi juga perlu menerapkan nilai hidup, sikap dan sopan santun masyarakat Malaysia, menggambarkan idea dan kebudayaan rakyat tempatan dan mencerminkan cara hidup masyarakat yang berbilang bangsa.

Penampilan peniaga ataupun individu yang mempromosikan sesuatu produk itu juga perlu diberi perhatian serius. Penampilan ini merangkumi aspek pakaian dan lokasi siaran langsung yang bersesuaian. Perlu diingat ketika kita bersiaran langsung melalui media sosial perhatian pengguna bukan kepada produk yang dijual semata-mata sebaliknya semua yang kelihatan dalam video itu. Jadi, sebelum ke udara secara langsung mahupun rakaman kita wajar membuat persiapan yang rapi supaya tidak menimbulkan sebarang masalah kelak.

Di samping itu, peniaga juga tidak wajar mengecam produk keluaran orang lain, tidak memapar atau menonjolkan sebarang unsur tahyul, menyebarkan sebarang propaganda terutama kebencian terhadap produk orang lain serta tidak menggalakkan sebarang aktiviti keganasan.

Ironinya, setiap penjual mempunyai tanggungjawab yang besar kepada pengguna dan negara. Oleh itu di samping kita menuntut semua penjual khususnya penjual dalam talian memperbaiki taktik jualan masing-masing, kita juga berharap pihak berkuasa turut memainkan peranan yang penting dalam hal ini.

Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) wajar mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap peraturan serta kod etika pengiklanan di semua saluran media khususnya media sosial. Kita memohon semua agensi yang berkaitan menguatkuasakan akta serta peraturan yang ada dengan tegas demi menangani budaya tidak sihat ini.

Pada masa sama, anggota masyarakat juga boleh memainkan peranan yang sewajarnya bagi membantu mengekang penularan iklan tidak bermoral di negara kita. Misalnya, netizen boleh membuat laporan dengan segera kepada pihak berkuasa jika mendapati ada peniaga yang melanggar etika pengiklanan serta mencetuskan krisis moral dalam kalangan anggota masyarakat.

Di samping itu, kita juga boleh memboikot mana-mana peniaga yang menggunakan taktik tidak bermoral untuk melariskan produk mereka sebagai peringatan dan pengajaran yang keras agar menghentikan dengan segera perbuatan seperti itu.

Tuntasnya, peniaga perlu sedar dalam keghairahan kita bersiaran langsung dengan pelbagai taktik untuk menarik perhatian pengguna sehingga mahu ia menjadi tular, janganlah pula sesekali lupa amalan dan nilai murni masyarakat yang menjadi tunjang kehidupan kita selama ini.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:59 AM