Hazama
Hazama
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Hazama tidak terkilan atau berkecil hati walaupun dia pada awalnya, disebut sebagai penyanyi yang akan diberi tanggungjawab untuk menyanyikan lagu runut bunyi (OST) filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

Menurutnya, semuanya sudah disusun oleh Tuhan dengan sangat baik dan lancar.

"Saya tak rasa terkilan dan saya anggap ini satu tetapan terbaik yang Tuhan dah tetapkan. Saya reda dan itu menjadi rezeki orang lain.

"Saya dapat menjadi sebahagian daripada filem ini pun, sudah membuatkan saya cukup bersyukur. Nanti, takut orang cakap tamak pula.

"Jadi, kita kongsikan rezeki dengan orang lain juga," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai tawaran untuk menyanyikan lagu OST berjudul Yes Sir itu, Hazama berkata, hala tuju muziknya juga berbeza ketika diberi rujukan oleh pengarah, Allahyarham Pitt Hanif.

"Selepas kami selesai menjalani penggambaran, Abang Pitt berjumpa dengan saya dan maklumkan, nanti selepas dia balik ke Kuala Lumpur, kami akan lepak di studio untuk rakamkan lagu ini.

"Hala tujunya juga lebih kepada rock dan dia pun dah siap berikan saya material untuk rujukan. Tapi, bila dia sebagai 'induk' pun dah tak ada, penerbit, Abang Arie adakan perbincangan mereka sendiri," katanya.

Lagu Yes Sir kini dinyanyikan oleh penyanyi Zamani dan Ariff Peter dengan genre berbeza.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang membariskan barisan pelakon antaranya, Hazama sendiri, Saharul Ridzwan, Julia Farhana Marin, Sabri Yunus, Adlin Rahman Ramlee dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:44 PM