ZAYN.
ZAYN.
Susunan Georgie Joseph


Sebelum ini Zayn Malik, 23, memberi alasan dia mahu meninggalkan dunia glamor ketika meninggalkan One Direction.

Namun, Zayn nampaknya mengubah pendirian itu apabila tampil sebagai penyanyi solo pula.

Apa pun keputusannya, siapa peduli kerana Zayn sendiri memiliki kelompok peminat yang cukup kukuh. Tambahan pula, masih ramai yang belum puas menikmati muzik Zayn dan pastinya dia sendiri belum puas dalam bidang diminatinya ini.

Bagaimanapun, awal-awal lagi single pertamanya berjudul Pillowtalk sudah mencetuskan pelbagai perdebatan walaupun melodinya cukup hebat.

Lagu berkenaan disifatkan sarat elemen seksual dengan permainan liriknya sensual serta melodi yang mengghairahkan.

Namun, Zayn tampil dengan penjelasan tersendiri mengenai maksud sebenar lagu itu.

Dia menyifatkan lagu itu memiliki nilai seni tersendiri.

“Ya, ia mengenai seks kerana dalam perhubungan cinta memang perkara itu wujud. Namun, jika diteroka liriknya bukan keseluruhan menjurus kepada seks,” katanya.

Biar apa pun tanggapan orang sama ada dia cuba berselindung dan mengelirukan peminat, penjelasannya ini ternyata masuk akal.

“Niat sebenar keseluruhan lagu itu adalah menyampaikan mesej bahawa sebahagia mana pun hubungan cinta, tentu

ada masa-masanya kita ditimpa kesusahan. Namun, itu yang akan membuatkan hubungan itu lebih bermakna kerana banyak perkara yang kita pelajari.

“Bahkan, menerusi setiap pengalaman yang kita tempuhi dalam hubungan itu akan menjadikan kita lebih rapat dengan pasangan,” katanya.

Pillowtalk mula dilancarkan sejak 29 Januari lalu dan serta-merta menjadi hit. Bahkan, dalam masa singkat saja, lagu terbabit mendaki tangga teratas carta muzik di lebih 60 negara.

Ia membuktikan bakat nyanyian Zayn yang membuatkan dia menjadi kegilaan selama ini.

Terdahulu ketika masih menganggotai One Direction, kemampuan nyanyiannya tidak begitu menyerlah.

Mana tidaknya, buat peminat tegar yang sudah mengikutinya sejak uji bakat program realiti The X-Factor UK tidak lama dulu, kekuatan Zayn terletak pada nyanyian.

Jiwa R&B dan soul cukup kuat dalam nyanyiannya dan ramai tidak melihat elemen itu dalam lagu One Direction.

Apapun, kini Zayn pastinya cukup puas apabila dapat melempiaskan kreativitinya itu menerusi album solonya akan datang.

Berjudul Mine of Mine, album berkenaan dijangka dilancarkan pada 25 Mac depan dan menampilkan 17 lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 8:54 AM