Aril Pilus
Aril Pilus
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi, Aril Pilus, 39, berdepan detik mencemaskan apabila ibu bapanya terbabit dalam kemalangan di Machap, Johor, hari ini.

Aril ketika dihubungi Harian Metro, bagaimanapun bersyukur apabila bapanya berada dalam keadaan baik, manakala ibunya cedera di bahu dan sudah dibenarkan pulang dari hospital.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 1 petang itu berlaku apabila bapanya mengalami 'microsleep' (terlelap ketika memandu) sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang van yang diparkir di tepi jalan.

"Bila berusia dan tak cergas ni, 'microsleep' paling bahaya. Jadi hati-hati ya sahabat semua. Kalau memandu rasa mengantuk, rehatlah dulu. Terlelap sekejap je, macam-macam boleh jadi," katanya.

Aril berkata, dia kini tidak membenarkan ibu dan bapanya memandu kerana bimbang kejadian itu akan berulang.

"Mujur kereta tidak dipandu laju. Jika tidak pasti lebih teruk. Buat masa ini saya sudah menghantar mereka dan diminta untuk banyak berehat.

"Alhamdulilah ayah tidak mengalami kecederaan, cuma tulang bahu ibu 'lari' sedikit dan doktor perlu menarik bahu dan membetulkan kedudukannya semula. Doktor juga periksa bahagian-bahagian lain jika ada kecederaan dalaman atau patah mana-mana bahagian," katanya.

Terdahulu, Aril memberitahu dia bergegas pulang ke kampung selepas mendapat tahu mengenai kemalangan itu daripada bapanya.

Menerusi Instastory, Aril berkongsi keadaan ibunya ketika dirawat di hospital.

"Seharian saya menguruskan ibu bapa di hospital ini baru berkesempatan untuk makan. Sukar untuk saya ungkapkan rasa risau apabila menerima perkhabaran sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 1:39 AM