Arill jadikan Haqiem (kiri) inspirasi. FOTO fail HM/IG Arill
Arill jadikan Haqiem (kiri) inspirasi. FOTO fail HM/IG Arill
Ardini Sophia Sina


PENYANYI, Arill Fesol yang dicungkil bakat menerusi Idola Kecil musim kedua mengakui menjadikan Haqiem Rusli sebagai inspirasi untuk terus bertahan dalam industri seni.

Kata jejaka berusia 20 tahun itu, dia mengalirkan airmata gembira melihat kemenangan Haqiem di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang lalu.

“Saya dan Haqiem bukan sekadar kenalan tetapi kami adalah kawan rapat. Kami sama-sama lahir dari pertandingan Idola Kecil. Banyak dugaan yang kami harungi bersama.

“Saya menangis kerana bangga dengan kejayaannya. Saya tahu pahit maung dan usaha keras yang Haqiem lalui untuk berada pada tahap itu,” katanya.

Bakal tampil dengan lagu baharu selepas hari raya Aidilfitri nanti, Arill yang pernah berlakon dalam drama Karlos ingin memberikan tumpuan pada nyanyian sebelum menceburi bidang seni lain.

“Empat tahun tanpa single adalah tempoh yang terlalu lama. Oleh itu, saya ingin memberikan tumpuan pada nyanyian dan berehat dari lakonan buat seketika,” katanya.

Arill atau Muhammad Fhazrill Fesol menyertai Idola Kecil pada usia 11 tahun. Dia salah seorang peserta yang berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 6:33 PM