Noralbaniah bersama anaknya, Syarra Sudarman.
Noralbaniah bersama anaknya, Syarra Sudarman.
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Pelakon, Noralbaniah, 54, yakin anak perempuan tunggalnya, Syarra Sudarman, 29, kini mampu menjalani kehidupan sendiri selepas dibebaskan dari penjara akibat penyalahgunaan dadah pada Mei, tahun lalu.

Noralbaniah atau nama sebenarnya, Nor Albaniah Raffie berkata, dia juga sudah tidak mahu mengungkit dan mengingati 'kisah hitam' yang pernah menimpa anaknya itu serta memilih untuk mengambil positif saja.

"Alhamdulillah kehidupan dia okay dan berjalan seperti biasa. Dia pun hidup sendiri sekarang, tapi kami ada berjumpa. Dia baik-baik saja.

"Perkara itu pun sudah lama berlaku dan tiada apa yang terbaru untuk dikongsikan. Sudah-sudahlah. Dia juga dah keluar (penjara) bulan lima tahun lepas," katanya.

Menganggap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran hidup buat anaknya, Noralbaniah bagaimanapun memohon agar dia tidak lagi berterusan ditanya mengenai peristiwa duka berkenaan.

"Boleh tak kalau saya tak mahu cakap pasal perkara ini lagi? Bagilah dia belajar dari kesilapan yang dia buat itu. Masa kecil dulu kita bela, tapi sudah besar sama seperti saya, kita tak tahu apa yang akan terjadi pada esok?

"Walaupun esok itu pilihannya di tangan kita, tapi kadang-kadang kita tersasar juga. Macam bila kita kejar bas pun, kadang-kadang boleh tertinggal. Jadi, saya tak mahu cakap apa-apa lagi sebab nanti terkena balik.

"Saya terima, saya reda. Lagipun, ini tahun lepas punya cerita. Itu sajalah yang saya boleh kongsi sebab ia pun sudah berakhir. Alhamdulillah syukur," katanya yang hadir pada tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak di pusat beli-belah, di sini, malam tadi.

Pada Januari tahun lalu, media melaporkan Syarra mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara selama 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Majistret, Saiful Sayoti turut mengarahkan Syarra menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Syarra didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada jam 11.45 pagi, 12 Oktober 2022. Atas kesalahan itu, Syarra dikenakan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada jam 3 petang, tarikh sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan itu.

Syarra adalah anak tunggal Noralbaniah dengan suaminya, Allahyarham Sudarman Daud, seorang pelumba kereta yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 10 Jun 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:53 AM