GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Pernah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada 2018 tidak menginsafkan seorang buruh daripada terus bergelumang dengan dadah.

Di mahkamah sama, hari ini, dia sekali lagi menerima hukuman penjara dan sebatan dan kali ini lebih berat iaitu tujuh tahun penjara dan tiga sebatan.

Tertuduh, Eddie Azrul Hafiza Abdul Aziz dari Kuala Pilah sebelum itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 12.05 tengah malam, 26 September tahun lalu, bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah didapati menggunakan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine kepada diri sendiri.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:23 PM