GANDINGAN mantap Kaka dan Daniesh.
GANDINGAN mantap Kaka dan Daniesh.
Georgie Joseph


KADANGKALA agak sukar untuk meluahkan perasaan kepada seseorang yang disayangi. Pelbagai cara juga mampu diterjemahkan bagi insan terpilih yang berjaya menambat hati.

Demikian yang cuba diterjemah komposer terkenal Omar K dan Dari menerusi naskhah terbaharunya berjudul Karya.

Lagu single yang menggandingkan dua penyanyi berbakat serta pencipta nama dalam industri hiburan Kaka Azraff dan Daniesh Suffian.

Lagu bergenre pop ini menceritakan mengenai perasaan seseorang yang sudah menemui pilihan hati yang tepat dan keterujaannya memberitahu perasaan itu kepada seluruh dunia.

Ini adalah kerjasama pertama antara Kaka dan Alternate Records sehingga membuat Kaka teruja menghasilkan lagu yang berunsur lebih romantis daripada lagu yang biasa dibawakannya.

"Kaka teruja dan berdebar apabila mahu memperdengarkan lagu ini kepada peminat. Saya rasa lagu ini sangat menarik kerana ini adalah kali pertama Kaka membawakan lagu yang lebih romantis, berlainan dari kebiasaan dan imej saya.

"Lagu ini juga duet pertama bersama Daniesh yang mempunyai suara penuh dengan karakter sendiri. Saya harap pendengar suka dan terus mendengarkan lagu ini di semua platform muzik." kata Kaka.

Daniesh seorang penyanyi dan penggubah lagu mula dikenali ramai dengan 'cover' lagu di media sosial dan pernah menyertai beberapa program realiti nyanyian seperti Vokal Mania dan Immortal Songs di TV3.

Menurut Daniesh, dia sentiasa mengintai peluang untuk membina kerjaya muzik dengan percubaan genre lagu yang berbeza.

"Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kaka kerana dia memberikan olahan lagu yang unik dan segar dalam industri muzik kita dengan intonasi dan karakter suaranya yang berbeza.

"Bagi saya, keunikan suara Kaka memberi impak yang berlainan terhadap lagu dan keseluruhan mesej yang ingin disampaikan. Saya berharap peminat dapat menerima lagu ini dengan baik," kata Daniesh.

Menariknya lagu Karya turut menjadi lagu runut bunyi Tonton Original Series: Kuih Muah sehingga berjaya mencuri perhatian ramai dan menerima sambutan hangat daripada peminat.

Dengarkan paduan hebat pasangan ini di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:45 AM