Sudirman Mohd Tahir


SETIAP tahun sambutan Aidilfitri turut diserikan dengan pelbagai iklan raya yang dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan atau mana-mana agensi.

Malah iklan ini bagaikan sudah menjadi satu elemen penting setiap kali tiba musim perayaan.

Menariknya, ia memaparkan jalan cerita tersendiri seperti diangkat daripada kisah benar dan isu semasa selain menampilkan barisan pelakon terkenal.

Berikut adalah lima iklan raya 2024 yang kisahnya diinspirasi daripada kisah benar.

1. Iklan raya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

Iklan berjudul Conteng sempena Aidilfitri ini juga menyentuh hati dan membuat ramai sebak sehingga mencatat tontonan lebih satu juta dalam tempoh tiga minggu ditayangkan di YouTube.

Pengarahnya, Rashid Sikh Abdullah berkata, idea asal daripada PKNS berkenaan seorang yang merajuk dengan kata-kata bapanya ketika kecil dan lebih 20 tahun tak balik kampung.

Dia kemudian ada mengambil rujukan daripada filem dan rakan yang dihalang cita-citanya menyambung pengajian tertinggi dalam jurusan seni atau seni halus.

Itu yang menjadi inspirasi buat dirinya dengan mencantumkan kisah sebenar. Daripada beberapa penulis skrip yang saling bertukar idea, maka mereka ciptakan sebuah jalan cerita yang mungkin dianggap klise, tapi digarap dan divisualkan dengan menarik.

Antara kekuatan utama iklan itu juga adalah penampilan pelakon veteran, Jalil Hamid yang mempamerkan lakonan cemerlang.

IKLAN raya Conteng daripada PKNS lakonan Jalil Hamid.
IKLAN raya Conteng daripada PKNS lakonan Jalil Hamid.

2. Iklan raya Bank Muamalat 2024

Iklan raya berjudul Nak Ikut ini diinspirasi daripada kisah benar rakan sebaya pengarah iklan raya ini, Dzulkifli Shaari.

Kisah cerita pendek ini penuh mesej tersirat, terutama mengenai keluarga, dunia yang sementara dan sedekah untuk pahala berterusan.

Mengisahkan tiga beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa dan tinggal bersama nenek mereka.

Lebih tragis apabila adik Hamidi iaitu Zaid meninggal ketika dalam perjalanan mencari abangnya yang pergi ke kedai membeli baju raya.

Menarik lagi, iklan raya ini mempunyai 'OST' dinyanyikan Ezad Lazim yang bertajuk Dekat Semula. Lagu ini hasil ciptaan komposer Sharon Paul dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Walaupun boleh dikatakan antara 'newcomers' yang masih baharu dalam dunia iklan dengan tema raya, namun ia berjaya menyentuh hati dengan penceritaan berkesan dan mesej mendalam.

3. Iklan raya Elrah Exclusive

Buat julung kalinya, Elrah Exclusive melancarkan filem pendek sempena 10 tahun dalam industri fesyen.

Dibintangi barisan pelakon serta duta pakaian Elrah Exclusive pada raya tahun ini seperti Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Meerqeen, MK K-Clique dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, Fatimah Abu Bakar yang melakonkan watak ibu.

Filem pendek bertajuk Tak Pernah Suka Mak ini adalah berdasarkan kisah benar yang dilalui pengasasnya iaitu El Azman.

Walaupun si ibu tidak menunjukkan kasih sayangnya pada anak, dia tetap berbangga dengan segala pencapaian anak dan setia mengiringi langkah mereka dengan doa.

Pada akhirnya, ajal menjemput si ibu dan anak terlambat mengetahui kasih maknya.

4. Iklan raya RHB

Iklan raya berjudul Lembaran Baharu ini adalah kisah realiti yang dikongsikan peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar ketika mengendalikan kes kecurian.

Kisahnya membantu dan menyelamatkan seorang ibu yang hampir dipenjara kerana kes curi kotak pensil di sebuah pasar raya dijadikan iklan raya 2024 RHB Group.

Kisah yang berlaku pada 1998 itu menceritakan seorang wanita yang bekerja sebagai pekerja pembersihan mencuri kotak pensel berharga RM18 untuk dihadiahkan kepada anaknya yang mendapat keputusan nombor satu dalam kelas.

Bagi mendapatkan kesahihan cerita wanita berkenaan, Ahmad Zaharil ke sekolah anak wanita itu dan guru di sekolah itu tidak menafikan keputusan murid berkenaan.

Mahkamah memutuskan kepada wanita berbangsa India itu untuk berkelakuan baik selama beberapa tahun.

Beberapa tahun kemudian, anak wanita itu bertemu Ahmad Zaharil dan memperkenalkan dirinya ketika itu sudah bergelar peguam.

5. Iklan raya Taylor's University

Sesuatu yang menarik apabila iklan raya turut dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT). Buktinya, iklan dari Taylor's University ini tidak kurang hebatnya.

Suami Mithali membawakan kisah mengenai realiti rumah tangga yang jarang diperkatakan dalam kehidupan seharian kita.

Mungkin ada yang memandang serong cara hidup suami isteri yang 'bertukar peranan' ini. Suami tinggal di rumah, isteri pula pergi bekerja.

Namun, mereka pasti ada sebab tersendiri untuk pilih jalan hidup sebegitu.

Iklan ini mengajak orang ramai supaya tingkatkan peranan dalam keluarga, memimpin dengan penuh kasih, mengukuhkan hubungan dengan pengorbanan dan saling memahami jalan hidup seseorang.

SUAMI Mithali bawa kisah realiti rumah tangga yang jarang diperkatakan.
SUAMI Mithali bawa kisah realiti rumah tangga yang jarang diperkatakan.

I

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:20 AM