ALI (dari kiri), Kodi dan Dboy antara teraju utama filem Leha.
ALI (dari kiri), Kodi dan Dboy antara teraju utama filem Leha.
LEHA kisah keberanian tiga pengawal keselamatan.
LEHA kisah keberanian tiga pengawal keselamatan.
Georgie Joseph


PEKERJAAN sebagai pengawal keselamatan sering kali dipandang rendah oleh segelintir pihak.

Begitu pun, tanpa pengawal keselamatan mampukah sesebuah kawasan atau premis terselamat daripada sebarang kemungkinan tidak baik?

Perkara itu memberi ilham kepada syarikat produksi, Alfanazra Productions bagi menghasilkan naskhah yang mengangkat pengawal keselamatan sebagai hero menerusi filem bergenre komedi berjudul Leha.

Filem ini diperkuatkan dengan barisan pelakon popular tanah air antaranya Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin serta Bidin Al Zaifa.

Leha mengisahkan tiga pengawal keselamatan di sebuah kilang membantu menyelamatkan gadis bernama Leha yang hampir menjadi mangsa culik gara-gara mempunyai maklumat dan dokumen mengenai jenayah pemerdagangan manusia di kilang berkenaan.

Pengarahnya, Azaromi Ghozali berkata, ia sebagai tanggungjawab sosial untuk mengangkat pengawal keselamatan ke tahap lebih tinggi supaya masyarakat memandang mereka memiliki keberanian, selain turut dilatih dengan latihan ala tentera.

"Bagi saya, ini adalah daya tarikan utama dalam filem Leha. Selalunya orang memandang rendah kerjaya sebagai pengawal keselamatan namun kali ini saya mengangkat mereka dengan sifat keberanian dan tanggungjawab.

ANTARA babak cemas dalam filem Leha.
ANTARA babak cemas dalam filem Leha.

"Kita sedia maklum mengenai pengorbanan mereka yang sangat besar dalam soal menjaga keselamatan. Boleh dikatakan filem Leha ini sebagai satu penghargaan buat seluruh warga pengawal keselamatan dan ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM)," katanya.

Mengenai pemilihan genre komedi bagi filem itu pula, Azaromi berkata, pihaknya ingin memberikan penonton hiburan dengan lawak jenaka dan secara tidak langsung dapat melihat kisah keberanian tiga pengawal keselamatan.

"Pemilihan genre aksi komedi ini bukan ingin memperlekehkan kisah pengawal keselamatan, tetapi saya mahu ia sesuai untuk ditonton semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

"Dengan cara ini akan menarik minat penonton dan tanpa ragu-ragu menonton bersama anak dan isteri.

SILFENY sebagai Leha.
SILFENY sebagai Leha.

"Saya juga mahu menampilkan kelainan berbanding filem aksi komedi lain. Kerana dalam penceritaannya ada 'plot twist' yang semestinya memberikan kejutan kepada penonton," jelasnya.

Filem Leha ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 11 April lalu sempena Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:20 AM