AZIRA Syafinaz. FOTO Aziah Azmee
AZIRA Syafinaz. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan De Fam, Azira Syafinaz menyifatkan pengunduran Syasya adalah satu kehilangan buat kumpulan Dolla.

Bagaimanapun Azira percaya biarpun kumpulan itu hanya diwakili tiga ahli namun mereka mampu pergi jauh dalam bidang seni ini.

"Saya mengagumi bakat mereka. Saya pendengar setia lagu-lagu mereka, malah mempunyai senarai lagu Dolla di akaun Spotify saya.

"Sekiranya berita pengunduran itu benar, saya percaya mereka mampu pergi lebih jauh.

"Bertiga atau berempat, Dolla mempunyai pakej lengkap termasuk paras rupa, aksi menari mereka yang hebat serta lagu-lagu mereka yang cukup berkualiti.

"Lagipun sekarang ini nama mereka sudah mengharum di China," katanya.

Menurut Azira, setiap orang mempunyai pilihan dan dia sendiri tidak berani untuk bercakap lebih kerana tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya dalam kumpulan De Fam kelak.

"Saya doakan semoga Syasya baik-baik saja. Sejujurnya saya sendiri pun tak tahu sampai bila saya akan terus bersama dengan kumpulan De Fam.

"Ini kerana, masing-masing mempunyai pilihan dan saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat mereka," katanya.

Pada 8 April lalu, Dolla membuat pengumuman mengejut bahawa Syasya sudah berundur. Ia bagi meleraikan persoalan ketiadaan Syasya bersama kumpulan itu sebelum ini.

Walaupun ia keputusan berat, Dolla yang kini dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel masih menganggap Syasya sebagai adik dan akan terus memberikan sokongan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:18 PM