Abby terima kunjungan anak dan menantu sempena Lebaran. Foto IG mamayebbyyabadi
Abby terima kunjungan anak dan menantu sempena Lebaran. Foto IG mamayebbyyabadi

Kuala Lumpur: Pertemuan pelakon dan usahawan Abby Abadi, 47, dengan menantunya Ahmad Aslam iaitu suami kepada anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, cukup menjentik emosi ramai.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menyifatkan lebaran kali ini adalah umpama kemenangan untuk teladani kisah lalu penuh luka.

"Meraikan kemenangan Aidilfitri dengan mengajar diri kita bahawa setiap kesilapan memiliki ruang untuk diperbaiki.

"Setiap luka mempunyai kesempatan untuk diubati," katanya.

Dalam video terbabit, Marissa, 18, yang disambut ibu tirinya, Memey Suhaiza dan abangnya, Danish Hakim yang membawa Aslam bertemu dan bersalaman dengan Abby.

Abby dilihat memeluk erat Marissa sebelum dia bersalaman dengan Aslam.

Ribuan komen membanjiri hantaran terbabit di mana rata-rata tumpang gembira apabila kebahagiaan keluarga Abby kembali terjalin selepas dugaan terdahulu.

"Ya Allah, besarnya hati Abby menjadi seorang pemaaf. Semoga ramai wanita dan ibu menjadi sekuat Abby.

"Sebak tonton video ini. Hanya Abby yang tahu perasaan sebenarnya, semoga terus kuat.

"Tumpang bahagia melihat hubungan keluarga ini semakin pulih, syukur," komen netizen.

Pada 27 Disember tahun lalu, Marissa dan Aslam bernikah tanpa pengetahuan keluarga dan isteri pertama suaminya iaitu Umisya Mazlan di Songkhla, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 12:41 PM