Norman Hakim
Norman Hakim

Kuala Lumpur: Pelakon Norman Hakim, 48, memohon maaf kepada bekas isterinya, Abby Abadi, 46, di atas kesalahan yang pernah dilakukannya terhadap wanita itu sepanjang perkahwinan mereka.

Norman juga difahamkan akan bertanggungjawab berhubung isu perkahwinan anak mereka, Marissa Dania Hakim, 19, dengan suami orang serta mempunyai dua anak di Thailand pada 27 Disember tahun lalu.

Menerusi tinjauan, didapati permohonan maaf itu dibuat Norman di ruangan komen pada salah satu perkongsian hantaran Abby di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

"Oklah, ampun maaf untuk yang kesekian kali, untuk segala kelemahan, salah dan silap. Saya ambil tanggungjawab ini andai ini semua khilaf saya.

"Seperti yang saya katakan insya Allah saya usaha yang termampu. Jarang saya nak komen secara terbuka tetapi kami tak ada akses untuk menghubungi awak," tulisnya.

Tidak hanya itu, Norman juga memaklumkan kepada Abby bahawa Marissa Dania ada mengirimkan salam kepadanya dan meminta didoakan yang baik-baik.

"Dania kirim salam sayang untuk awak. Doakan yang baik-baik," katanya.

Terdahulu, Abby berkongsi luahannya di akaun Instagram yang kecewa apabila pendedahan dibuat mengenai perkahwinan Marissa Dania kini menjadi isteri kedua kepada lelaki pilihan Aslam, ditulis dengan tokok tambah oleh portal-portal hiburan sekali gus menimbulkan kekeliruan.

Justeru, Norman tampil memberi teguran kepada bekas isterinya itu di ruangan komen agar Abby tidak lagi membuat perkongsian terbuka mengenai situasi Marissa Dania itu di media sosial.

Perbalahan dilihat berlaku antara mereka dalam ruangan komen itu dan menarik perhatian netizen yang kebanyakannya berasa simpati dengan dugaan hebat dihadapi Abby di atas tindakan dibuat Marissa Dania.

Sebelum itu, Abby muncul mengesahkan mengenai perkahwinan Marissa dan Aslam menerusi temubual ekslusifnya bersama sebuah portal hiburan baru-baru ini yang tular.

Terdahulu, nama Marissa Dania kembali menjadi bualan ramai pada Januari lalu selepas didakwa sudah bernikah secara senyap-senyap dengan suaminya, Aslam di Songkhla, Thailand tanpa pengetahuan Norman dan Abby.

Perkahwinan pasangan muda yang difahamkan sudah lama bercinta itu juga dimaklumkan tidak diketahui oleh isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu berada di Tanah Suci Makkah menunaikan umrah.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 2002 dan dikurniakan tiga anak iaitu, Mohd Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim, namun akhirnya bercerai pada 2008.

Norman kemudian berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza pada 2011 dan memiliki tiga anak, manakala Abby pula bertemu jodoh dengan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:52 PM