JULIA berusaha mendapatkan badan tegap untuk membezakan watak Melati dengan Leftenan Melati.
JULIA berusaha mendapatkan badan tegap untuk membezakan watak Melati dengan Leftenan Melati.
Ramlah Zainal


SELEPAS lebih empat tahun menanti, akhirnya impian Julia Farhana, 27, untuk berlakon dalam filem aksi menjadi kenyataan menerusi Coast Guard. Dalam filem arahan Hashim Rejab itu, Julia bergandingan dengan Saharul Ridzwan selaku teraju utamanya.

Filem terbitan Arie Zaharie Production yang akan ditayangkan tahun depan ini turut menampilkan Emma Maembong dan Hazama.

Julia yang juga pelakon berdarah kacukan Melayu dan Itali ini mengakui watak Leftenan Melati yang juga anggota maritim dalam filem itu sangat mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

Dia yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Asia Peace Film Festival 2017 kini giat menjalani sesi latihan mental dan fizikal untuk merealisasikan watak Leftenan Melati selama sebulan.

“Saya dan Saharul kini menjalani latihan ketat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Walaupun, saya aktif bersukan dan meminati aktiviti lasak, sesi latihan ini sangat ketat.

“Seawal jam 6.30 pagi, saya mula berlari sejauh lima kilometer, bersenam jam 8 pagi di gimnasium dan menghadiri kelas jam 9 pagi.

“Ia disusuli latihan kawad kaki pada jam 11 pagi dan bersambung dengan latihan lain sehingga jam 11 malam setiap hari,” katanya.

Berkongsi pengalaman mencemaskan, Julia berkata, dia hampir lemas ketika menjalani latihan menyelam di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

“Ia terjadi akibat kecuaian sendiri kerana saya terlalu yakin boleh melakukannya. Mungkin kerana memiliki lesen selam skuba. Kejadian berlaku disebabkan terlepas ‘regulator’ sehingga topeng muka terbuka. Mujurlah saya segera diselamatkan jurulatih yang ada di situ.

JULIA tak serik walaupun nyaris lemas.
JULIA tak serik walaupun nyaris lemas.

“Saya tidak serik atau trauma sebaliknya lebih peka dan berhati-hati untuk latihan seterusnya,” katanya.

Mengagumi aktres Hollywood, Angelina Jolie, Julia berkata, dia kini berusaha untuk mendapatkan badan yang tegap dan sedikit berotot sekali gus mendapat kepuasan dalam lakonan.

“Dalam filem ini, saya terbabit dalam babak aksi berlawan dengan penjenayah. Saya membayangkan watak Leftenan Melati yang memiliki tubuh tegap dan nampak sempurna ketika mengacu pistol kepada penjenayah,” katanya.

Julia berkata, dalam filem itu dia perlu membezakan watak Melati dengan Leftenan Melati.

“Saya sudah meneliti skrip filem ini lebih 10 kali untuk memahami dua watak terbabit. Watak Melati berubah apabila dia bertugas sebagai anggota maritim dan lebih fokus dengan tugasnya.

“Ada diselitkan konflik cinta untuk menarik perhatian penonton. Saya juga mengikuti kelas lakonan supaya dapat menjiwai watak diserahkan sebaik mungkin,” katanya.

ERWIN HANYA KAWAN

Julia mengakui dia masih berkawan dengan pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson tetapi hubungan mereka kini sekadar rakan seperjuangan dalam bidang seni.

“Kami tiada hubungan istimewa dan sudah jarang berjumpa kerana masing-masing fokus pada karier seni. Namun, kami bersikap profesional dan tiada masalah untuk bekerjasama dalam drama atau filem pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada sudah bertemu pengganti Erwin, kata Julia, dia mahu meletakkan cerita peribadinya ke tepi dulu.

“Maklumlah, lebih empat tahun berlakon baru sekarang orang mula membuka mata pada bakat saya dalam bidang lakonan.

“Memang saya ada berkawan dengan seseorang tetapi hubungan itu belum serius. Buat masa ini, fokus saya untuk membina nama dan me­ngukuhkan karier lakonan terlebih dulu,” katanya.

Menyusul selepas ini, Julia juga bakal terbabit dengan projek drama arahan Osman Ali untuk Slot Akasia, TV3 tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:00 AM