Pelakon, Izzue Islam bersama ahli kumpulan Forteen ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama beliau di Kueh Cafe, Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Pelakon, Izzue Islam bersama ahli kumpulan Forteen ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama beliau di Kueh Cafe, Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Ramlah Zainal


Shah Alam : Penyanyi, pelakon dan pengacara, Izzue Islam, 33, lebih selesa untuk bekerjasama dalam projek khas bersama Forteen dan belum merancang untuk kembali bersama kumpulan itu.

Izzue berkata, dia juga mahu membiasakan peminat dengan projek khas lagu yang menampilkannya bersama kumpulan itu.

"Kami memang ada berbincang untuk mencari kata putus dan percaya inilah yang terbaik buat kedua belah pihak iaitu Forteen dan saya buat masa ini. Saya percaya Forteen pun selesa dengan projek khas sebegitu.

"Kami juga mahu peminat terima dengan projek khas Forteen x Izzue Islam ini kerana ramai peminat yang menantikan gabungan Forteen dan Izzue. Setahun mungkin ada satu lagu daripada kami," katanya.

Mengulas hubungan dengan anggota Forteen, kata Izzue, walaupun sudah tidak bersama Forteen, mereka masih lagi berhubung seperti biasa.

"Selepas berlaku sedikit salah faham sebelum ini, kami memang berjumpa dan selesaikan isu itu secara baik.

"Selepas seminggu dua, kami sudah okay dan lupakan apa yang sudah berlaku dan berkawan macam biasa.

"Sebenarnya, selepas beberapa tahun tidak bersama Forteen pun, hubungan kami tetap baik dan masih keluar minum bersama termasuk berbincang mengenai industri muzik," katanya.

Ditanya projek khas susulan bersama Forteen pula, kata Izzue, dia memang tidak akan menolaknya jika ada kelapangan.

"Selepas kerjasama dalam projek lagu Noktah Epilog Cinta, kalau ada rezeki untuk projek khas seterusnya, pasti saya tak menolaknya.

"Selepas Forteen x Izzue, mungkin selepas ini, projek khas Izzue x Forteen pula," katanya.

Sementara itu, mengenai perancangan untuk kembali bersama Forteen, Izzue berkata, dia masih belum ada jawapannya lagi.

"Insya-Allah, benda ni saya pun tak tahu nak kata apa lagi buat masa ini. Nak kata tidak akan bersama Forteen pun, saya tak boleh nak kata ya dan nak kata tidak pun tak boleh juga. Doakanlah yang terbaik buat kami," katanya.

Terdahulu, Izzue membuat kemunculan khas dalam single Forteen berjudul Noktah Epilog Cinta sentuhan Datuk Norman Abdul Halim dan Syahmi Muffins selepas lima tahun kumpulan itu tidak mengeluarkan lagu baharu.

Selepas Izzue keluar dari kumpulan itu pada 2018, Forteen kini menampilkan tiga anggota iaitu Ameer, Ariz Lufias dan One.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 3:14 PM