RIZMAN Nordin ketika Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi , Kuala Lumpur. FOTO Raihana Mansor
RIZMAN Nordin ketika Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi , Kuala Lumpur. FOTO Raihana Mansor
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi penyanyi Aliff Aziz yang berdepan kontroversi panas susulan berita ditangkap berkhalwat dengan pelakon Ruhainies baru-baru ini. 

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan jenama fesyen berkenaan, Rizman Nordin berkata, pihaknya tidak terkesan dengan kontroversi berkenaan dan enggan mengambil pusing segala kecaman yang diterima kerana  penyanyi itu adalah salah seorang  'muse' bagi Koleksi Raya RR by Rizman Ruzaini 2024.

"Kami dari dulu memang tak campur urusan peribadi selebriti. Kami seboleh-boleh tak nak ada kontroversi apa-apa sebab memang buat kerja sahaja. 

"Kalau tengok adalah sikit komen di Instagram (IG) yang negatif. Tapi kalau nampak saya akan padam dan sekat sebab  akaun media sosial Rizman Ruzaini ibarat rumah kita, kalau orang datang mencemarkan saya akan buat begitu. 

"Kami tak terkesan sebab selebriti kami ramai sangat. Kedua, koleksi kami sangat besar, jadi tidaklah terpalit sangat pada kami. Dia (Aliff) bukan wajah utama (untuk kempen Aidilfitri tahun ini)," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi, di sini, semalam.

Menurut Rizman, pembabitan Aliff pada kempen koleksi Aidilfitri tahun ini hanya untuk sesi fotografi sahaja, namun bagi isterinya Bella Astillah pula mempunyai komitmen tambahan.

 

"Komitmen kami dengan Aliff hanya untuk sesi fotografi sahaja. Tapi, untuk Bella kita ada sesi ramah mesra bersama pembeli. Kalau ikutkan sebelum pemilihan artis itu kami sudah tapis untuk elak kontroversi.

"Sebab pada saya, perkara itu akan beri kesan kepada imej sesebuah jenama. Kami memasarkan perniagaan jadi tak boleh ada isu-isu kontroversi ni.

"Kami pula tak percaya ungkapan yang mengatakan 'kontroversi buruk adalah satu taktik pemasaran'. Saya percaya semuanya kerana hasil kerja," katanya.

Pada Februari lalu, Rizman Ruzaini mengumumkan seramai 26 artis terkenal tanah air termasuk Aliff menjadi 'muse' bagi Koleksi Raya RR by Rizman Ruzaini 2024.

Sebelum ini, isu kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies menjadi bualan di media sosial.

Sehinggakan terdapat gerakan netizen mahu memboikot mereka dan produk berkaitan gara-gara isu kontroversi berkenaan.

Dalam pada itu, Rizman turut mengumumkan koleksi RR by Rizman Ruzaini bakal menjadi tahun terakhir pengeluarannya.

"Keputusan ini dibuat selepas permintaan di luar negara sangat memberangsangkan. Walaupun berat tapi kami terpaksa akur dengan keputusan ini. 

"Sebenarnya, ramai selebriti ternama di luar negara yang berminat untuk mengenakan busana daripada kami. Jadi, antara lain tujuan kami mengambil keputusan ini kerana mahu mengharumkan nama negara. 

"Itu matlamat utama kami. Selain itu, kami merasakan sukar untuk buat dua perkara dalam satu masa, jadi kami mahu fokus untuk meletakkan jenama dari Malaysia di peta fesyen dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 11:22 PM