ABBY dan anaknya Marissa Dania yang disahkan sudah menjadi isteri kedua Mohd Aslam.
ABBY dan anaknya Marissa Dania yang disahkan sudah menjadi isteri kedua Mohd Aslam.

Kuala Lumpur: Pelakon Abby Abadi, 46, akhirnya mengesahkan pernikahan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim dengan Mohd Aslam yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.

Abby berkata, sebagai ibu, dia reda dengan pilihan yang dibuat Marissa sekali gus bergelar isteri kedua kepada lelaki itu.

Abby bagaimanapun bertegas mahu pasangan itu segera mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

"Saya mengakui Marissa dan Aslam menikah di Thailand. Sijil pernikahan mereka ada pada saya, cuma saya mahu mereka selesaikan isu ini.

"Daftar pernikahan di sini, sahkan kerana kita tinggal di Malaysia. Saya bimbang pernikahan di Thailand sah atau tidak, sebab itu saya minta mereka daftar pernikahan di sini. Selesaikan benda yang belum selesai," katanya dalam satu temubual.

Hampir tiga minggu kisah perkahwinan itu menjadi bualan ramai, Abby turut berkongsi kronologi bagaimana Marissa 'lolos' bernikah senyap-senyap di Thailand.

Katanya, dia memang tak tahu kerana ia di luar jangkaan.

"Saya balik hari itu, suami tengok kamera litar tertutup (CCTV) ada kawan perempuan Marissa di rumah dan baru saya tahu dia dah terlepas ke Thailand.

"Rupa-rupanya kawannya itu seperti ganti dia supaya tiada sesiapa tahu dalam bilik tu tak ada orang. Sangat-sangat tak terjangka dek akal," katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui maklumat mengenai Marissa sudah berada di Thailand selepas mendapat bantuan daripada rakan polis.

"Saya tahu pun sudah lambat. Saya dapat kesan mereka di Thailand atas bantuan rakan polis selepas beri maklumat dan mereka bantu menjejaki Marissa.

"Saya hubungi anak tetapi tidak dapat, mungkin telefonnya ditutup. Sebagai ibu, saya harap semua ini tak berlaku dan cuba menidakkan perkara ini tak sah tetapi siapalah saya kalau sudah Allah SWT kata itu yang terbaik untuk mereka," katanya.

Terdahulu, nama Marissa kembali menjadi bualan ramai pada Januari lalu selepas Aslam dikatakan sudah bernikah dengan Marissa di Songkhla, Thailand pada 27 Disember tahun lalu.

Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.

Pernikahan itu juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 12:37 PM