Elly Arifin.
Elly Arifin.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Elly Arifin, 35, masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam dirinya yang didakwa pernah dicabul seorang pengamal perubatan Islam yang bergelar ustaz, dua tahun lalu

Elly atau Nurul Elyana Kamalul Arifin berkata, peristiwa dicabul itu dialaminya ketika mendapatkan rawatan kerana mahu pulihkan semangat di rumah individu terbabit.

"Pada 2022 lalu, saya dicabul oleh seorang individu bergelar ustaz yang sangat dipercayai dan rapat dengan keluarga saya. Jadi, memang tak terfikir langsung kejadian sebegitu boleh berlaku.

"Individu itu bertindak memasukkan tangannya di bahagian sulit saya ketika berada dalam keadaan separuh sedar. Emak yang suruh saya berjumpa dengannya ketika itu untuk tujuan berubat.

"Rawatan lebih kepada hendak pulihkan semangat saja. Jadi, saya datang seorang diri ke rumah individu itu dengan pakaian 'sweater' dan seluar besar, jadi memang tak ketat pun," katanya kepada Harian Metro.

Elly berkata, ketika sesi rawatannya itu dia hanya minum air yang sudah dibaca ayat oleh individu terbabit, namun dalam keadaan separuh sedar tetap dapat merasakan tangan individu itu meraba pada bahagian atas dan bawah alat sulitnya.

Terdahulu, Elly hadir pada sidang media sempena tayangan perdana filem Korsakoff lakonannya bersama Iqram Dinzly, Erra Fazira, Azhan Rani dan Ning Baizura, semalam.

Ujarnya lagi, walaupun individu itu memintanya agar tidak bercerita kepada sesiapa dan ahli keluarga, namun dia tetap bertindak membuat laporan polis tiga hari selepas kejadian berkenaan. 

"Dia (individu itu) sudah pun didakwa dan mengaku bersalah di mahkamah. Dia juga diperintahkan membayar denda dan kes ini dah pun ditutup sebab tidak mahu memanjangkan isu.

"Walaupun tidak mahu mengingatnya lagi. Tapi, sampai sekarang saya masih trauma dengan apa yang berlaku," katanya. 

Mengulas dirinya sebagai pelakon, Elly berkata dia berasa amat bertuah kerana mendapat peluang untuk watak utama dalam filem Korsakoff sekalipun diri adalah pelakon baharu dan kurang pengalaman.

Filem Korsakoff terbitan D Alpha Legacy yang bergenre psiko thriller arahan Opie Zami mengangkat kisah masalah mental dan akan menemui penonton di saluran Astro First mulai 14 Mac ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 8:19 PM