BEN McDonald (kiri), Taylor Swift dan bapa . FOTO AFP
BEN McDonald (kiri), Taylor Swift dan bapa . FOTO AFP
Agensi

Sydney: Polis Australia sedang menyiasat dakwaan seorang jurufoto selepas mendakwa mukanya ditumbuk bapa penyanyi Taylor Swift iaitu Scott Swift, semalam.

Jurucakap polis, Alicia McCumstie, berkata laporan itu dibuat jurufoto yang dikenali sebagai Ben McDonald, 51, dan kes kini dalam proses soal siasat.

"Polis dimaklumkan seorang lelaki berusia 71 tahun kononnya menyerang seorang lelaki 51 tahun di Neutral Bay Wharf sekitar jam 2.30 pagi sebelum tinggalkan lokasi," katanya.

Menurut McDonald insiden itu berlaku selepas Swift dan bintang pop terbabit turun daripada sebuah kapal layar menuju ke sebuah kereta yang sedang menunggu meerkat.

Dia turut dihadang dengan payung oleh pengawal keselamatan penyanyi berkenaan bagi menghalangnya mengambil gambar. Sejurus penyanyi itu masuk kereta, bapanya kemudian datang bersemuka dan menyerangnya.

"Saya tidak tahu dia siapa, tapi bila membelek semula foto-foto itu dan lihat dia berpegangan tangan dengan Taylor, rupanya itu bapanya. Sangat mengejutkan, tak pernah berlaku kepada saya selama 26 tahun bekerja," katanya.

Jurucakap penyanyi itu pula menuduh terdapat dua individu menolak, merentap dan mengugut ketika insiden terbabit.

"Dua individu dengan agresif bergerak menuju Taylor, merentap pengawal keselamatannya dan mengugut untuk tolak seorang staf wanita ke dalam air," katanya.

Taylor baru mengadakan konsert hari terakhirnya di Australia sempena siri jelajah Eras.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 11:30 AM