Atikah dan bakal suaminya, Datuk Lokman Teh.
Atikah dan bakal suaminya, Datuk Lokman Teh.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Majlis pernikahan pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, 33, dan pasangannya, ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh, 34, pada 21 Januari ini akan berlangsung secara tertutup dengan dihadiri ahli keluarga terdekat serta teman rapat saja.

Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime berkata, majlis pernikahannya akan berlangsung secara kecil-kecilan saja di salah satu lokasi di ibu kota.

"Bakal suami 'nervous' (gementar) dan tidak biasa dengan kehidupan saya sebagai selebriti. Sebab itu, kami putuskan buat majlis akad nikah secara tertutup saja," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas persiapan majlis pernikahan yang tinggal seminggu saja lagi, Atikah bersyukur kerana semuanya sudah siap sebanyak 95 peratus.

"Alhamdulillah, semua persiapan untuk majlis pernikahan di Kuala Lumpur juga berjalan lancar. Buat masa ini, kami fokus pada majlis akad nikah dulu," katanya.

Berkongsi perasaannya untuk bergelar isteri, Atikah berkata, dia gembira dan berdebar menanti detik untuk melangkah ke fasa itu.

"Saya dan Lokman sudah lima tahun berkawan dan mengenali hati budi masing-masing. Saya memilihnya untuk menjadi suami kerana dia memiliki kriteria lelaki yang dicari iaitu bertanggung-jawab, jujur, merendah diri dan dermawan.

"Selain itu, saya juga menyukai lelaki yang berambut lebat dan berpakaian kemas," katanya.

Bercerita mengenai perancangan selepas berkahwin, Atikah berkata, dia mahu fokus kepada perniagaan dan rumah tangga yang bakal dibina itu.

"Saya masih lagi berlakon tapi tidaklah aktif seperti dulu kerana keutamaan selepas berkahwin pada perniagaan dan keluarga," katanya.

Terdahulu, Atikah berkongsi berita gembira hari bahagianya yang bakal menjelang dengan pengikutnya di Instagram dengan memuat naik video majlis pertunangannya yang berlangsung secara ringkas di Singapura pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 1:26 PM