FADHLIAH Intan. FOTO Hazreen Mohamad
FADHLIAH Intan. FOTO Hazreen Mohamad
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Fadhilah Intan mengakui impak positif terhadap kerjaya nyanyiannya sehingga mampu meraih populariti di negara ini sejak lagu dendangannya berjudul Dawai mula dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Fadhilah, 25, berkata lagu yang juga runut bunyi bagi filem Air Mata Di Ujung Sajadah itu membuka jalan untuknya mencipta nama dalam bidang seni. 

"Sebenarnya selepas lagu Dawai menjadi popular, perubahan ketara itu banyak berlaku di Malaysia. Oleh itu saya setuju kerana lagu Dawai, saya boleh berada di sini (Malaysia). 

"Jika diikutkan di Indonesia, sebelum lagu ini naik (popular) ramai orang minta bergambar dengan pelakon filem Air Mata Di Ujung Sajadah sahaja. 

"Saya sebagai penyanyi runut bunyi filem itu tidak ada yang minta bergambar. Kalau di Malaysia orang selalu sokong saya. 

"Walaupun kadang-kadang ada yang terlupa nama, tapi mereka akan panggil saya 'Dawai', jadi saya gembira. Alhamdulillah sekarang sudah lebih ramai yang mengenali saya," katanya. 

Fadhilah ditemui pada sidang media konsert Wali 'Cari Jodoh' & 'Dawai' In Penang di Gula, semalam.

Fadhilah diundang untuk menjayakan konsert Wali 'Cari Jodoh' & 'Dawai' In Penang anjuran Orange International bersama kumpulan Wali Band, Khai Bahar dan Saixse di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari depan.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Fadhilah bakal menlancarkan dua single baharu tidak lama lagi sebagai langkah terus mengukuhkan nama dalam industri muzik.

"Saya sudah ada dua single baharu dan baru sahaja selesai rakaman beberapa hari lalu. Mungkin akan dilancarkan pada Februari nanti," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 11:34 AM