Fadhilah Wahab, 50 (kanan) mewakili ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufik Hakim Che Razmi,23, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meninggal dunia kerana barah paru-paru tahap tiga dan dijangkiti Covid-19 tahap lima pada Majlis Konvokesyen UniSZA hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Fadhilah Wahab, 50 (kanan) mewakili ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufik Hakim Che Razmi,23, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meninggal dunia kerana barah paru-paru tahap tiga dan dijangkiti Covid-19 tahap lima pada Majlis Konvokesyen UniSZA hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: "Saya gagahkan diri untuk hadir ke majlis konvokesyen dan mengambil diploma arwah anak kerana bangga dengannya," kata Fadhilah Wahab.

Fadhilah, 50, dari Seremban, Negeri Sembilan adalah ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufik Hakim Che Razmi, 23, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meninggal dunia kerana barah paru-paru tahap tiga dan dijangkiti Covid-19 tahap lima.

Suasana ceria bertukar sedih saat Fadhilah naik ke pentas untuk menerima Diploma Rekabentuk Perindustrian bagi pihak arwah anaknya itu yang disampaikan oleh Naib Canselor (Menjalankan Fungsi) Prof Dr Fadzli Adam.

Menurutnya, anak keduanya itu meninggal dunia ketika di tahun kedua pengajian pada 22 September tahun lalu di Institut Kanser Negara (IKN).

"Walaupun arwah sudah tiada, saya tetap bangga dan teruja akan kejayaannya. Disebabkan itu saya gagahkan diri hadir dan menerima diploma yang disampaikan.

"Saya meminta suami, Che Razmi Abdul Razak, 58, untuk naik mewakili arwah anak, tetapi suami tidak kuat oleh itu saya cekalkan hati untuk naik ke pentas hari ini dan berasa sayu mengenangkan arwah.

"Lebih tersentuh apabila melihat rakan-rakan arwah. Arwah bersungguh-sungguh menamatkan diplomanya dan meneruskan pula pengajian di peringat ijazah," katanya.

Tambahnya, arwah sempat memintanya untuk mengisi borang penangguhan semester apabila disahkan menghidap barah paru-paru dan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Putrajaya.

"Rakan sekuliah ada meminta untuk membeli hasil kerja arwah tetapi saya tidak bersedia menjualnya kerana itu ialah kenangan untuk saya simpan.

"Malah, sebahagian besar sudah dibingkaikan dan disimpan di tempat khas di rumah," katanya.

"Saya berharap kejayaan arwah dapat menjadi contoh dan inspirasi yang baik kepada semua orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 5:19 PM