Datuk M Nasir. Foto Hazreen Mohamad
Datuk M Nasir. Foto Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Bagai dijangka kemunculan komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir pada konsert Tamasya Anak Muda yang berlangsung di Jiospace di sini berjaya menarik kira-kira 1,500 pengunjung malam tadi.

Ternyata, pada usia emas 66 tahun, M Nasir tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang satu jam tanpa henti di pentas serta memberi kepuasan pada pengunjung.

Bukan sahaja peminat dewasa, persembahan M Nasir juga berjaya menarik peminat dalam kalangan generasi muda yang turut sama menari dan menyanyi rangkaian lagu popularnya sepanjang konsert berkenaan.

Pada malam itu, M Nasir memulakan persembahan kira-kira jam 10 malam dengan rangkaian lagu popularnya yang tidak pernah jemu dipersembahkan.

Antaranya Hati Emas, Gerhana, Perjuangan, Raikan Cinta, Mentera Semerah Padi, Sang Pencipta, Apokalips, Juwita dan Falsafah Cinta.

Tidak ketinggalan rangkaian lagu medley ciptaannya yang dipopularkan kumpulan Search dan Wings iaitu Gadisku, Hukum Karma dan Pawana.

Barisan pemuzik berpengalaman yang mengiringi persembahan M Nasir pada malam itu ialah Aznan Alias (gitar), Norman (bass), Ujang (dram), Firdaus (Keyboard) dan Pa'ang (perkusi).

Selain M Nasir, acara anjuran Luncai Emas ini turut menampilkan barisan penyanyi berbakat tempatan seperti Amir Jahari, Leaism, Arish Mikael, Pitahati, Margasatwa, Satwo, Iqbal M, Fazleena & The Lasykar dan Jemput Dengar (DJ).

Selain konsert, pelbagai acara dan program diadakan antaranya membabitkan Tamasya Sunburst Marketplace yang menampilkan jenama terkemuka, kedai unik serta instalasi seni yang menarik serta muzik 'busking' untuk dinikmati pengunjung.

Acara turut dijayakan Sunburst Store, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), SIAR dan Fung Keong serta disokong Yayasan Hasanah dan Arts FAS.

Mercy Malaysia juga sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengumpul derma buat mangsa-mangsa tragedi di Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 1:15 PM