Allahyarham Md Shah (kiri berbaju hitam) bersama anggota kumpulan Kembara diketuai Datuk M Nasir (kanan sekali).
Allahyarham Md Shah (kiri berbaju hitam) bersama anggota kumpulan Kembara diketuai Datuk M Nasir (kanan sekali).
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Bekas pemain keyboard kumpulan Kembara dan Ilusi, Md Shah Othman dilaporkan menghembus nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Allahyarham Md Shah, 72, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit susulan kanser kelenjar yang dihidapinya.

Berkongsi kesedihan, bekas vokalis kumpulan Ilusi, iaitu Ayai terkejut dengan pemergian rakan seperjuangannya itu.

"Kami memang sudah lama kenal. Bukan dengan arwah sahaja, malah, seluruh anggota keluarganya.

"Baru semalam saya mendapat tahu arwah menghidap kanser selepas dimaklumkan seorang teman.

"Saya kemudian hubungi arwah dan memintanya segera mendapatkan rawatan di hospital. Selepas itu, anaknya hubungi saya mengatakan arwah sudah dibawa ke hospital.

"Tiba-tiba, tengah hari tadi saya mendapat perkhabaran arwah sudah tiada. Rasa sangat terkejut kerana segala-galanya berlaku cepat sekali," katanya.

Mengulas keperibadian Allahyarham Md Shah sepanjang mengenalinya, bekas juara musim pertama Gegar Vaganza (GV1) ini memberitahu, arwah berbakat menyanyi.

"Arwah boleh menyanyi tetapi tidak suka ketengahkan bakatnya itu. Kalau bersama saya, arwah akan menyanyi. Sejak itu saya tahu dia ada bakat menyanyi.

"Dalam kumpulan Ilusi, arwah paling pendiam. Arwah gemar memberi idea dalam pembikinan sesebuah lagu," katanya.

Ayai berkata, jenazah Allahyarham Md Shah akan dibawa ke Kampung Bendahara selepas selesai urusan mandi dan dikafankan.

"Ketika ini, saya berada di hospital. Jenazah akan dimandi dan dikafankan sebelum dibawa ke Kampung Bendahara untuk disolatkan.

"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 5:37 PM