MAHU menghasilkan single yang sesuai dengan selera masa kini.
MAHU menghasilkan single yang sesuai dengan selera masa kini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Memenangi wang tunai RM100,000 selepas menjuarai Gegar Vaganza tidak melekakan Ayai Ilusi, sebaliknya penyanyi dengan nama sebenar Zaharuddin Kamaruddin, 53, ini memasang niat untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Siti Hajar Ali, 45, tahun ini.

Menurutnya, peluang ini sudah lama dinantikan dan sekarang adalah masa terbaik untuk dia menunaikan Rukun Islam kelima itu.

"Saya juga sudah mendapatkan kepastian daripada pihak berkaitan dengan agama Islam mengenai status wang ini sama ada boleh digunakan untuk tujuan itu dan mereka memberitahu ianya tidak salah dan tiada keraguan.

"Kata mereka apa yang saya dapat ialah rezeki Allah dan perkara yang penting ialah niat saya. Kalau dilihat lirik-lirik nyanyian saya sepanjang terbabit dalam Gegar Vaganza juga tiada unsur-unsur lucah atau mengghairahkan," katanya.

Sejak bergelar juara Gegar Vaganza, kehidupan Ayai turut berubah. Selain sibuk dengan tawaran mengadakan persembahan serta merakam album terbaru, dia turut dilantik menjadi juri tetap untuk sesi uji bakat Kilauan Emas musim kelima.

"Saya dalam perancangan untuk buat single terbaru bersama Astro. Sekarang ini saya masih dalam proses cari lagu dan antara komposer yang dikenal pasti ialah Awi Rafael, Awang BPR, kumpulan Sixth Sense dan ramai lagi.

"Saya dan pengurusan Astro sama-sama berganding bahu pilih lagu yang sesuai. Kalau boleh saya nak cuba tampilkan benda baru tapi dalam masa sama akan kekalkan identiti asal. Saya nak mencontohi penyanyi Cliff Richard.

"Bagaimanapun saya takkan tampil dengan lirik cinta sebaliknya lebih kepada nasihat dan ketuhanan. Harapnya pembaharuan yang dibuat nanti dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

"Boleh dikatakan sekarang populariti saya datang semula. Pergi mana-mana pun orang nak bergambar sedangkan dulu saya pernah bekerja dengan satu syarikat besar dan pekerja lain langsung tak kenal itu ialah saya.

"Undangan nyanyian dan merakam album membuatkan saya kerap berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun saya sukar nak berpindah ke sini kerana mempunyai syarikat pembinaan di Johor Bahru.

"Perniagaan saya banyak membabitkan pihak kerajaan dan saya kena urus sendiri dengan mereka," katanya yang kini turut mengikuti kelas kecergasan bagi mengekalkan stamina ketika menyanyi.

Kecil hati dengan RTM

Dalam pada itu, Ayai melahirkan perasaan kecil hatinya dengan RTM kerana mengabaikan bintang-bintang kelahiran mereka.

"Saya sebenarnya peserta akhir Bintang RTM 1986. Sepatutnya RTM terbitkan program khas untuk bintang ciptaan mereka tapi saya jarang dapat peluang muncul dalam program mereka.

"Agaknya penerbit-penerbit baru tak kenal saya dan artis-artis era dulu. Bagaimanapun saya tetap berterima kasih kepada RTM Johor kerana sering beri peluang saya menyanyi dalam program mereka.

"Sebenarnya saya pernah dua kali dipanggil untuk terbabit dengan program RTM. Saya disuruh mengosongkan jadual untuk satu tarikh tapi akhirnya tak jadi dan mereka tunda pada tarikh lain.

"Pada tarikh kedua, program itu sekali lagi ditangguh dan akhirnya senyap terus. Banyak kerugian dialami ketika itu kerana saya terpaksa tolak undangan lain tapi alih-alih program ini pun tak jadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:02 AM