Agensi

Los Angeles : Spekulasi status hubungan cinta penyanyi terkenal, Mariah Carey dan kekasihnya, Bryan Tanaka akhirnya terjawab apabila Tanaka mengesahkan perpisahan mereka selepas tujuh tahun bersama.

Berita itu dikongsi Tanaka menerusi satu hantaran di Instagram semalam berhubung keputusan mereka yang memutuskan untuk membawa haluan masing-masing dan berpisah secara baik.

"Kami berpisah dengan rasa hormat yang mendalam dan terima kasih yang tidak terhingga atas masa yang tidak ternilai yang sudah dikongsikan.

"Kenangan yang kami cipta dan kerjasama yang sangat indah sentiasa terpahat di hati saya selama-lamanya," tulisnya dalam hantaran itu.

Malah, Tanaka turut memuji pengorbanan Mariah kepada keluarga dan komitmen terhadap kerjaya seninya sehingga mampu memberi inspirasi kepada orang ramai sepanjang perjalanan hidupnya.

"Saya ingin meluahkan rasa sayang serta penghargaan buat Mariah dan anak-anaknya yang luar biasa, begitu penuh kebaikan dan pernah membuatkan hidup saya sempurna.

"Bagi saya tiada kata-kata yang dapat menggambarkan semua ini," katanya.

Mengulas lanjut, Tanaka memohon supaya peminat menghormati privasi dan keputusan mereka serta menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang diberikan.

Pada masa sama, Tanaka juga berkata, dia tentunya akan meneruskan minatnya dalam menghasilkan inspirasi menerusi tarian dan seni kreatif lain.

Terdahulu, kecoh di media sosial pasangan selebriti ini didakwa tidak lagi bersama kerana Mariah tidak mahu mempunyai anak lagi tetapi Tanaka pula mahu sebaliknya.

Sebelum berpasangan dengan Tanaka, Mariah pernah berkahwin dengan Nick Cannon dan dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Moroccan dan Monroe yang kini berusia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 4:50 PM