Marian Arshad kini berada dibawa pemantauan doktor
Marian Arshad kini berada dibawa pemantauan doktor
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon era 80-an, Datin Maria Arshad, 65, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta di sini kerana masalah kekurangan garam, jam 5 pagi tadi.

Menurut pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah, 48, atau Shiera, ibu mentuanya itu mengadu sakit urat dan tidak boleh mengangkat tangannya yang lemah pada Isnin lalu.

"Selain sakit urat dan sakit belakang, berat badan mama memang turun mendadak sebanyak 48 kilogram selepas dijangkiti virus Covid-19 sebelum ini.

"Namun, selepas dibawa buat pemeriksaan di pusat perubatan swasta, doktor beritahu mama tiada sebarang penyakit kronik dan hanya kurang garam dalam badan sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas keadaan Maria lagi, kata Shiera, ibu mentuanya kini dalam keadaan sedar tapi tidak boleh bercakap serta dalam pemantauan rapi oleh doktor di wad ICU.

"Mama mengadu sakit lagi jam 2 pagi tadi dan makan pun muntah semula. Kami adik beradik juga membacakan surah Yassin kerana mama mengadu sakit tanpa henti dan seperti diserang sawan.

"Anak perempuan saya juga menghubungi Ambulans dan mama juga terus dimasukkan ke wad ICU pagi tadi," katanya.

Kata Shiera, ibu mentuanya hanya pernah dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus Covid-19 sebelum ini.

"Selain Covid-19, mama memang tidak pernah dimasukkan ke wad kerana penyakit lain.

"Setakat ini, mama memang sihat sahaja dan tidak ada menghidap sebarang penyakit kronik seperti jantung dan sebagainya kerana dia sangat menjaga kesihatan.

"Kalau ubat pun dia hanya pernah makan ubat tahan sakit dan tampal koyok sahaja," katanya.

Diminta mengulas dakwaan sama ada ibu mentuanya itu menghidap sakit misteri pula, kata Shiera, dia enggan mengulasnya.

"Selain berjumpa doktor, kami memang ada membawa mama berjumpa ustaz untuk berubat secara tradisional.

"Pada masa sama, saya mewakili seluruh ahli keluarga memohon semua peminat dan orang ramai sama-sama mendoakan kesembuhan mama dengan segera," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 2:39 PM