Status di Facebook yang dimuat naik Suraya Bahari.
Status di Facebook yang dimuat naik Suraya Bahari.
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS 17 hari dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma, vokalis kumpulan MAY, Mus, 49, sedar sepenuhnya serta mampu berkomunikasi dengan keluarga.

Isterinya, Suraya Bahari berkata, suaminya sedar sepenuhnya dan mampu kenal pelawat sejak 17 Julai lalu.

"Abang Mus seakan kebingungan dan hairan bagaimana dia boleh berada di situ. Dia bertanya apa sudah berlaku.

“Saya beri penjelasan bahawa dia sakit dan perlukan rawatan doktor," katanya yang dihubungi hari ini.

Menurutnya, Mus juga mengadu lenguh-lenguh badan dan dia kena buat latihan ringan antaranya berjalan.

"Dia perlu sentiasa bergerak dan sudah boleh ke bilik air tetapi perlu dipimpin. Abang Mus juga tidak memerlukan alat bantuan pernafasan lagi," katanya.

Suraya berkata, Mus yang sudah dikeluarkan dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini ditempatkan di wad biasa sejak 13 Julai lalu masih perlu menjalani proses plasma exchange.

"Doktor akan buat proses itu sehingga Sabtu, manakala keputusan ujian darah akan diketahui pada 24 Julai ini.

"Saya tak pasti berapa lama doktor akan menahannya di wad. Apapun Abang Mus perlu banyak membuat latihan fisio untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Mus awalnya dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4 Julai lalu akibat demam panas.

Dia kemudian dipindahkan ke ICU Hospital Ampang untuk rawatan lanjut pada 5 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 9:32 PM