WU Kang-ren menang Pelakon Lelaki Terbaik.
WU Kang-ren menang Pelakon Lelaki Terbaik.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Filem tempatan, Abang Adik arahan Jin Ong terus unggul di pentas antarabangsa apabila memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Golden Horse Ke-60, di Taipei, Taiwan, kelmarin.

Kemenangan itu menerusi terajunya yang juga pelakon asal Taiwan, Wu Kang-ren.

Menerusi ucapannya, dia sangat berbesar hati mendapat kepercayaan daripada produksi Malaysia menjayakan filem itu.

"Ia satu takdir yang takkan saya lupa. Terima kasih atas tulisan skripnya mengenai pengalaman hidup sendiri dan terima kasih kongsikan kepada saya, pelakon Taiwan. Terima kasih semua kakitangan di Malaysia, anda semua sangat luar biasa," katanya.

Abang Adik meraih tujuh pencalonan dalam anugerah berprestij itu termasuk mencalonkan pengarahnya, Jin Ong dalam kategori Pengarah Baru Terbaik dan seorang lagi pelakon filem ini, Jack Tan turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Selain itu, filem Abang Adik turut menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Baru Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Asal Terbaik dan Solekan & Kostum Terbaik.

Terdahulu, Abang Adik yang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg Ke-37 di Switzerland pada Mac lalu berjaya memenangi dua trofi, iaitu hadiah penonton dan Anugerah Juri Ekumenikal.

Ia turut melakar sejarah apabila memenangi tiga anugerah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Filem itu berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Ia juga kali pertama dalam sejarah filem Asia Tenggara berjaya memenangi tiga anugerah sepanjang penganjuran Far East Film Festival.

Pada Ogos lalu, filem Abang Adik muncul filem Malaysia pertama memenangi Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York dan mengungguli kategori Persembahan Terbaik, First Filem Festival di China, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 3:26 PM