NORLIA Ghani
NORLIA Ghani
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Norlia Ghani, 76, akan menolak tawaran berlakon yang menawarkan bayaran rendah dan tidak berbaloi seolah-olah tidak menghargai pembabitannya dalam bidang seni lebih lima dekad lalu.

Norlia berkata, dia bukannya mahu 'demand' dari segi bayaran tetapi berharap penerbit dan pengarah juga meletakkan harga yang sesuai dengan hasil lakonan diberikan.

"Saya akan menolak jika ada produksi yang menawarkan bayaran serendah RM200 hingga RM300 seolah-olah tidak menghargai kami sebagai artis lama.

"Ia terpulanglah kepada individu itu sendiri kerana ada juga artis veteran yang terpaksa terima bayaran sangat rendah kerana kesempitan wang dan saya juga tidak boleh salahkan mereka," katanya.

Sementara itu, Norlia berkata, dia juga pernah menolak untuk melakonkan watak orang gaji yang selalunya dilakonkan pelakon tambahan dalam drama, baru-baru ini.

"Saya ditawarkan watak orang gaji yang sekadar bawa cawan dan bercakap 'ya mak encik, ya tuan, yang selalunya dilakonkan pelakon tambahan. Kalau watak orang gaji yang ada jalan cerita tu lainlah.

"Janganlah fikir kerana ramai pelakon veteran yang mengadu sudah lama tidak ada 'job', saya akan ambil apa saja watak tempelan seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 2:36 PM