Arwah Jepp Saly pernah berkhidmat sebagai Exco Seniman
Arwah Jepp Saly pernah berkhidmat sebagai Exco Seniman
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan penerbit drama, Mohd Hanafiah Saly atau lebih dikenali sebagai Jepp Saly meninggal dunia di kediamannya di Bukit Beruntung Rawang sekitar jam 8.20 malam tadi.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) persatuan terbabit suatu ketika dulu.

"Sepanjang berkhidmat sebagai Exco Seniman, Allahyarham seorang yang amat bertanggungjawab dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

"Allahyarham meninggal dunia disebabkan penyakit kanser hati tahap empat yang dihidapi sejak kebelakangan ini dan meninggalkan empat orang anak dan seorang balu.

"Seluruh kepimpinan tertinggi Seniman dan barisan Exco mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan didoakan semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman," katanya.

Semasa hayatnya, Jepp Saly aktif membantu golongan kurang bernasib baik antaranya menerusi penganjuran Tabung Bantuan Mangsa Banjir pada Disember 2015.

Allahyarham juga pernah membantu golongan artis bernasib malang menerusi program Jelajah Jualan Amal Selebriti yang berlangsung di Selayang Mall, Selangor pada September 2015.

Tidak terkecuali, Jepp menerusi syarikatnya, Trans Malaya Borneo turut membantu Penyunting Eksekutif Harian Metro, Allahyarham Efindi Baharuddin yang ketika itu menghidap barah serta jurugambar Utusan Malaysia, Ghazali Basri yang mengalami strok.

Berita kematian Mohd Hanafiah turut dikongsi oleh beberapa penggiat seni antaranya Salwa Abdul Rahman dan beberapa yang lain.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sentosa, Rawang jam 10 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:57 AM