NOOR Azam bercakap ketika sesi libat urus rekalibrasi FINAS bersama media bagi mengenalpasti isu, cabaran dan resolusi oleh pengamal media tempatan melalui platform komunikasi dua hala bersama FINAS di Kompleks FINAS Hulu Klang. FOTO Asyraf Hamzah
NOOR Azam bercakap ketika sesi libat urus rekalibrasi FINAS bersama media bagi mengenalpasti isu, cabaran dan resolusi oleh pengamal media tempatan melalui platform komunikasi dua hala bersama FINAS di Kompleks FINAS Hulu Klang. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pembikin filem tempatan diingatkan agar tidak bergantung harap sepenuhnya dengan dana disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menghasilkan filem, tetapi perlu juga berusaha mendapatkan dana daripada pihak luar.

Timbalan Pengerusi Finas, Noor Azam Shairi berkata, dia mendapati segelintir pembikin filem tempatan meletakkan 100 peratus kebergantungan mereka terhadap dana daripada Finas untuk menghasilkan satu karya filem.

"Sebenarnya, tahun ini boleh dikatakan pencapaian terbaik untuk filem Malaysia kerana ada beberapa karya dihasilkan sudah berjaya memasuki pasaran luar negara dan bertanding ke festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Cannes.

"Bagaimanapun, karya filem dihasilkan itu rata-ratanya tidak mendapat dana Finas, tetapi penerbitannya mendapat dana daripada pihak luar di atas kerjasama dua hala yang dijalinkan penerbit dengan pelabur asing," katanya kepada Harian Metro

Terdahulu, Noor Azam ditemui selepas sesi pertemuan dengan wakil media yang diadakan di bangunan Finas, Hulu Klang, di sini, untuk mendapatkan maklum balas bagi tujuan penambah baikan agensi kerajaan itu pada masa akan datang.

Menurut Noor Azam, penyediaan dana oleh Finas juga diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu untuk membantu pembikin filem tempatan dalam berkarya menerusi suntikan dana disediakan berkenaan.

"Namun, apa yang didapati segelintir daripada pembikin filem tempatan memang bergantung sepenuhnya 100 peratus dengan dana Finas dan tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk menampung kos lain seperti pemasaran dan promosi.

"Sampai bila kita ingin sasarkan filem Malaysia untuk pasaran dalam negara saja dan kini tiba masa untuk produk seni kita menerokai pasaran luar menerusi kerjasama penerbitan dengan pelabur dari luar," katanya.

Noor Azam berkata, antara filem Malaysia yang berjaya mendapat tempat di luar negara dan dihasilkan tanpa mendapat dana Finas ialah Stone Turtle, Tiger Stripes dan Abang Adik yang menerima dana pelabur luar seperti dari Perancis, Qatar, Singapura dan Indonesia.

"Jadi, secara tidak langsung filem-filem ini membuktikan dana itu ada di mana-mana iaitu dari pihak pelabur luar. Cuma, bagaimana kita menyusun cara kerja, cara berfikir untuk pergi cuba mendapatkan dana daripada pihak luar ini.

"Apapun, setakat ini negara yang selalu muncul untuk menjalin kerjasama dua hala dalam pembuatan filem bersama produksi Malaysia ialah Singapura dan Indonesia," katanya.

Mengulas mengenai agenda penambahbaikan dirancang, Noor Azam berkata, agensi itu akan melakukan penstrukturan semula pada hujung November depan membabitkan ahli perbadanan dan kepimpinan tertinggi Finas di semua bahagian.

"Finas juga akan meneliti antaranya pindaan pada akta dan juga cadangan dasar perfileman negara yang sudah lama tidak disemak termasuk menyusun pelan penjajaran semula daripada semua aspek untuk hala tuju baharu.

"Dalam beberapa bulan ini Finas memang dalam proses meneliti pindaan akta dan juga dasar perfileman negara untuk diperhalusi dan diperbaiki kerana mendapat maklum balas daripada ahli perbadanan serta bahagian undang-undang," katanya.

Noor Azam berkata, dalam pada itu Finas juga akan mengumumkan individu dipilih untuk menjawat tugas Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 1:56 PM