Adibah Abd Mutalib
Adibah Abd Mutalib
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Ibu tunggal lima anak, Adibah Abdul Mutalib, 50, mengakui ujian hidup yang bertimpa-timpa dihadapi membuatkan dia tabah dan terus bersabar kerana Allah mengetahui segala keperitannya.

Semalam, Adibah yang juga bekas madu pelakon Miera Liyana yang terlewat tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk keputusan hadanah interim tiga anaknya berhadapan masalah kereta rosak.

"Adalah ujian sedikit apabila kereta yang saya gunakan selama ini mengalami kerosakan dan perlu dihantar ke bengkel. Jadi, saya menumpang di rumah kakak di Kota Damansara untuk kami sama-sama ke mahkamah.

"Tapi, kami diuji pula dengan kereta kakak saya juga mengalami kerosakan dan terlambatlah tiba di mahkamah. Kereta saya yang rosak itu pun sudah digunakan selama 12 tahun dan tiba masa untuk dibaiki.

"Apapun, masalah kereta rosak adalah ujian kecil saja untuk saya, sebab kalau dilihat ujian dihadapi penduduk Palestin ketika ini lebih teruk lagi. Jadi, saya tetap bersyukur," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Adibah mendapat hak penjagaan sementara atau interim dua daripada tiga anaknya selepas bekas suami, Rosland Othman memfailkan tuntutan hadanah penuh pada 24 Mac lalu.

Dua anaknya yang memilih untuk tinggal bersama Adibah ialah iaitu Nur Liyana, 18, dan Nurin Tasnim, 11, manakala seorang lagi, , Nur Anisa, 12, memang sudah dijangka akan memilih tinggal bersama bapanya, Rosland.

Keputusan hak penjagaaan interim ke atas tiga anak Rosland da Adibah itu diputuskan oleh Hakim Syarie, Shamsuddin Hussain.

Pada perbicaraan 4 September lalu, Shamsuddin difahamkan memanggil Nur Liyana, Nur Anisa dan Nurin Tasnim bagi mengambil keterangan daripada mereka sama ada mahu tinggal bersama bapa atau ibu mereka.

Adibah selaku defendan diwakili peguam, Md Taufeq Al Amin Sahri, manakala Rosland diwakili peguam, Nurul Balqis Nordin pada prosiding itu.

Sehubungan itu, perbicaraan untuk tuntutah hak hadanah penuh atau penjagaan kekal anak pasangan ini akan disambung mahkamah mulai 7 Disember depan.

Rosland dan Adibah sebelum itu sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali pada 3 Ogos lalu.

Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 6:32 PM