Pengacara Famili Duo musim ke 3, Izzue Islam bersama Janna Nick pada minggu pertama konsert duo. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pengacara Famili Duo musim ke 3, Izzue Islam bersama Janna Nick pada minggu pertama konsert duo. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Penerbit Eksekutif Famili Duo 3, Muhd Suffian Isa menjelaskan bahawa nama Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom disebut pengacara ketika program Famili Duo 3 adalah sebagai gimik promosi media sosial saja.

Menurutnya, bukan saja Elly, malah ada beberapa nama lain seperti Ella, Kaka Azraff, Syamel dan Ernie Zakri turut disebut.

"Nama Kak Lina itu mungkin sekadar gimik di media sosial. Tapi, bukan nama dia saja yang disebut kerana ada beberapa artis lain juga disebut untuk biarkan penonton berteka-teki," katanya.

Ditanya mengenai beberapa babak berbaur sindiran yang dilontarkan pengacara, Janna Nick dan Izzue Islam ketika mengacarakan program itu dan dirujuk netizen sebagai sindiran kepada program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Suffian berkata, terpulang kepada mereka sekiranya ada yang menganggap itu sebagai sindiran.

"Kalau ada program lain yang rasa disindir, itu terpulanglah. Tapi, kami sebenarnya tak sindir, tetapi untuk kuatkan kandungan dan apa yang orang harus tahu mengenai Famili Duo 3," katanya.

Terdahulu, Izzue dan Janna menyebut beberapa perkara yang dianggap sindiran antaranya, bilangan pengacara dan juga penyertaan Shila Amzah yang mana pernah dianggap akan menjadi peserta program ASGV.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 3:15 PM