Janna Nick ketika Famili Duo di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Janna Nick ketika Famili Duo di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Janna Nick menafikan dia 'try hard' atau berusaha bersungguh-sungguh dalam gaya pengacaraannya yang turut didakwa segelintir penonton seakan cuba meniru pengacara dan pelakon, Elly Mazlein.

  Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 27, berkata dia menjadi diri sendiri ketika mengacara program itu, sekali gus menepis kritikan segelintir penonton yang cuba mengaitkan gayanya dengan Elly atau lebih dikenali Kak Lina Pom Pom.

  "Saya tak 'try hard' (berusaha bersungguh-sungguh) pun, tapi ini adalah permintaan penerbit. Bukan untuk saya jadi seperti Kak Lina Pom Pom, tidaklah.

   "Saya tak buat kajian pun cara Kak Lina mengacara. Jika betul-betul nak jadi dia, saya memang tiru 'sebijik' apa yang Kak Lina buat.

  "Tapi, ini adalah permintaan penerbit. Dia (penerbit) mahukan saya 100 peratus mewakili peserta dan saya bersuara untuk peserta. Jadi, saya memang kena 'lawan' juri," katanya. 

  Terdahulu, Janna ditemui media selepas dia selesai mengacarakan episod pertama, program Famili Duo musim kedua terbitan TV3, di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam di sini, malam tadi.

   Janna juga mengakui, dia sekadar memenuhi permintaan penerbit untuk bersuara bagi pihak peserta dan bukan sengaja mahu berlebih-lebih menyanggah cakap juri. 

   "Sebagai pengacara yang dibayar gaji untuk melakukan perkara itu, saya kena tonjolkan DNA Famili Duo," katanya.

   Ditanya juga mengenai kisah cintanya, Janna masih tetap memilh untuk 'berteka-teki' berkenaan hubungan dengan kekasih, Dini Schatzmann yang didakwa dilanda badai. 

   "Saya tak mahu bercakap soal peribadi kerana menghormati tugas sebagai hos program hiburan ini. Saya memang tak nak cakap mengenai peribadi di sini, tapi kita tak pasti. Mungkin segala benda yang tak seronok itu, akan ada keindahan yang berlaku selepas ini. 

   "Kita tak tahu, jadi saya nak fokus pada kerja dan saya tak nak bercakap tentang hubungan. Biarlah kita fokus pada kerja saja," katanya. 

   Menerusi program terbabit, Janna turut diusik oleh rakan pengacara, Sean Lee berkenaan kisah peribadinya, namun dia tidak terasa hati. 

   "Masa latihan lagi dia (Sean) dah buat macam itu. Kalau orang lain bergurau begitu mungkin saya akan terasa hati. Tapi, kalau orang yang rapat dengan saya, ia boleh diterima. 

  "Sebelum ini pun kami sering digandingkan sebagai rakan pelakon. Dia juga pernah bekerja di bawah arahan saya. Tapi dalam mengacara mungkin agak berbeza semasa kami di set.

   "Ini adalah episod pertama, jadi kami masih lagi mencari rentak. Nak kata susah itu tidak juga kerana keserasian sebagai kawan tetap ada," katanya. 

   Persaingan Famili Duo  membabitkan tujuh pasangan selebriti yang mempunyai hubungan kekeluargaan bertanding merebut hadiah lumayan, RM 10,000 setiap minggu dan hadiah utama bernilai RM100,000 di pusingan akhir.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:13 PM