AZNIL. FOTO Arkib NSTP
AZNIL. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi berharap tabung bantuan yang dilancarkan untuk penyanyi Ibnor Riza bagi merawat penyakit kanser limfoma tahap empat mencapai sasaran dalam waktu terdekat.

Aznil berkata, menurut doktor penyanyi yang terkenal menerusi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk hidup sekiranya rawatan susulan tidak dilakukan.

"Saya tak boleh duduk diam dan tak nak menyesal di kemudian hari. Saya perlu pastikan misi bantuan ini dapat meringankan beban Ibnor untuk melakukan rawatan kimoterapi secepat mungkin.

"Alhamdulillah sejak tabung bantuan dilancarkan pada Isnin lalu saya melihat peningkatan jumlah derma yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia walaupun perlahan.

"Bagaimanapun jumlahnya masih jauh daripada target perubatan yang diperlukannya," katanya.

Menurut Aznil, dia berterima kasih kepada rakan-rakan media kerana turut membantu dalam meringankan beban penyanyi itu.

"Walaupun tempoh yang doktor anggarkan untuk Ibnor hidup tidak lama, tapi kita tidak boleh berputus asa.

"Saya perlu melakukan pelbagai usaha lain termasuk di platform media sosial agar peminat Ibnor dan pengikut saya dapat membantu. Saya harap dan berdoa anggaran doktor itu bertukar kepada kesembuhan kekal.

"Sekarang ini saya aktif memuat naik video nyanyian Ibnor untuk orang luar melihat keadaan terkininya yang masih bekerja walaupun tahap kesihatannya tidak mengizinkan," katanya.

Terdahulu, Ibnor memberitahu doktor memaklumkan hanya mempunyai kira-kira enam bulan sahaja untuk hidup.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia antara 13 dan 32 tahun itu disahkan menghidap kanser pada Februari lalu.

Ibnor yang baru memulakan rawatan kemoterapi di sebuah hospital swasta memberitahu memerlukan kira-kira RM32,000 untuk dua pusingan kemoterapi.

Sekiranya rawatan tidak berjaya, Ibnor perlu menjalani tiga lagi rawatan kemoterapi yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:59 PM