Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Kami berdua sudah melalui tiga perkahwinan, kami berdua tahu apa yang kami mahu dalam hidup, malangnya kami terpaksa mencari haluan masing-masing."

Demikian luah Engku Emran Engku Zainal Abidin mengenai keretakan rumah tangganya bersama kakak kepada selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila.

Emran menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya berkata, kehancuran dalam rumah tangga buat kali ketiga bukan satu keagagalan tetapi sudah ditakdirkan.

"Perkahwinan memang sukar. Siapa yang pernah berkahwin kami semua tahu mengenainya. Yang mana belum pernah kahwin jangan sembang kuat sangat.

"Saya beritahu Nabila tiga perkahwinan ini bukan kegagalan, tetapi sudah tertulis sebelum kita hidup di dunia ini.  Ia hanyalah satu perjalanan yang tidak dapat dielakkan yang perlu kita lalui untuk mencari keredaan-Nya dan selagi kita mendekatkan diri kepada-Nya itu sudah menjadi satu kejayaan besar," katanya.

Menurut Emran, dia memohon orang ramai untuk menghormati dan memberi ruang kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar ketika ini. 

"Jaga adab serta hormati Nabila dan saya. Kami masih ada keluarga… mak dan ayah. Jangan sakiti hati mereka. 

"Kami tidak pernah kacau hidup sesiapa. Ini ujian untuk kami dan Alhamdulillah kami reda. Hormati kehidupan kecil kami ini walaupun ia tidak sempurna.

"Sekali lagi saya minta anda untuk menghormati dan beri ruang.  Ini adalah detik sukar buat kami berdua. Mohon doa semoga Allah permudahkan segala urusan kami berdua," katanya.

Dalam masa sama, Emran mengingatkan orang luar supaya berhenti menyebar fitnah atau membuat sebarang andaian tidak benar mengenai keretakan rumah tangganya dengan Nabila.

"Saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk berkata sesuatu dengan niat untuk menghindari fitnah daripada tidak terkawal.

"Selepas kata- kata saya ini jika anda terus membuat andaian dan cerita-cerita nak menyedapkan selera nafsu anda itu adalah masalah anda dan anda perlu menjawab dengan Tuhan.

 

"Saya tidak pernah ambil pusing kepada khabar angin dan gosip murahan atau sampah.

"Jangan kita komen seperti kita nampak sangat tidak bijak. Jangan kita komen seperti kita kenal sangat orang yang kita langsung tidak kenal. Jangan kita komen macam kita tidak akan ada ujian yang menanti," katanya.

Terdahulu Nabila memaklumkan dia dan Emran bakal bercerai dalam waktu terdekat selepas Emran menyatakan hasratnya untuk tidak meneruskan rumah tangga yang dibina sejak 2021.

Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021. Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya. Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 9:43 PM