Hugh Jackman dan Deborra-Lee Furness
Hugh Jackman dan Deborra-Lee Furness
Agensi

Los Angeles: Pelakon Hugh Jackman dan isterinya Deborra-Lee Furness sepakat bercerai selepas 27 tahun melayari bahtera perkahwinan yang cukup bahagia.

Menurut laporan majalah People, Jackman, 54, dan Deborra, 67, sangat bersyukur rumah tangga mereka mampu bertahan hampir tiga dekad. 

Namun begitu, mereka ada alasan untuk mengakhiri hubungan itu.

"Perjalanan kami kini berubah dan kami memutuskan untuk berpisah demi mengejar kemajuan diri-sendiri," demikian kenyataan mereka.

Pasangan terbabit bertemu di set penggambaran program TV berjudul Correlli pada 1995.

Deborra adalah pelakon yang cukup popular ketika bertemu Jackman sewaktu dia masih baru bertapak dalam industri lakonan.

Mereka berkahwin pada April 1996 dan kemudian mengambil anak angkat yang kini berusia 23 dan 18 tahun.

Bagaimanapun, keluarga masih akan jadi keutamaan mereka.

"Kami melangkah ke fasa baharu ini dengan rasa syukur, cinta, dan kebaikan. Kami sangat menghargai untuk kamu faham dan menghormati privasi kami sebagai keluarga menjalani semua peralihan dalam hidup," kata kenyataan itu lagi.

Jackman yang cukup popular dengan watak Wolverine dalam rangkaian filem X-Men serta The Greatest Showman tidak pernah lekang berkongsi mengenai hubungan mereka di media sosial.

Pada ulang tahun terbaru mereka April lalu, dia sempat mengucapkan rasa cintanya terhadap Deborra.

Pasangan itu turut dilihat bergambar sama pada Julai lalu di sebuah kejohanan tenis di Wimbledon, London.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 8:23 PM