Agensi

Los Angeles: Rumah tangga penyanyi, Joe Jonas bersama pasangannya Sophie Turner kini di ambang perceraian selepas dikatakan sudah enam bulan berantakan.

Menurut sumber terdekat, Jonas, 34, dikhabarkan ada berunding dengan peguam cerai di sini, kemungkinan ingin menamatkan perkahwinannya bersama Turner, 27.

Dalam tempoh enam bulan ini, hubungan mereka didakwa berdepan masalah serius. Ia sekali gus membuatkan ramai terkejut kerana mereka sentiasa muncul bersama.

Malah, Turner juga memberikan sokongan padu kepada penyanyi terbabit sewaktu siri konsert jelajah terbarunya.

Jonas turut menarik perhatian apabila tidak memakai cincin kahwin dalam kalangan rakan selebriti.

Baru-baru ini, pasangan itu turut menjual rumah agam mereka di Miami.

Hubungan mereka mula menarik perhatian pada 2016 sebelum bertunang pada 2017. Kemudian menamatkan zaman bujang pada 2019 selepas acara Billboard Music Awards.

Sejak itu, mereka bahagia menjalani kehidupan berkeluarga dan menyambut cahaya mata sulung pada 2020 manakala anak kedua tahun lalu.

Punca utama masalah rumah tangga mereka masih samar-samar. Tiga bulan kebelakangan ini, Jonas banyak menghabiskan masa menjaga dua anak mereka walaupun sibuk menjayakan siri konsert jelajahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 3:47 PM