Amelina dan Ani Mayuni pada sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Farfield Hotel. FOTO FATHIL ASRI
Amelina dan Ani Mayuni pada sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Farfield Hotel. FOTO FATHIL ASRI
Nurul Sabrina Jamali

 

Kuala Lumpur: Ratu dangdut Malaysia, Amelina, menafikan genre dangdut membawa unsur negatif dalam kalangan masyarakat disebabkan genre terbabit mempunyai imej tersendiri. 

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 49, berkata, genre dangdut mempunyai peminatnya sendiri dan tidak boleh dilabel sebagai sebuah lagu yang tidak elok di mata masyarakat. 

"Sebenarnya, genre dangdut ini sangat seronok kerana ia adalah sebuah muzik yang membawa maksud sama sahaja seperti genre-genre lain. 

"Kami sebagai penyanyi dangdut pun perlu patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengurusan dari aspek pakaian, katanya ketika ditemui di Sidang Media Goyang Asia Koplo Milenia Live in Kuala Lumpur. 

Menurut Amelina, genre dangdut sememangnya tidak terlepas daripada tarian gelek kerana itu sudah lumrahnya dalam industri muzik dangdut. 

"Apabila muzik dangdut itu sudah berbunyi, memanglah kita perlu gelek sedikit untuk memeriahkan suasana konsert itu, takkanlah nak berdiri tegak sahaja," katanya. 

Dalam pada itu, Amelina turut memaklumkan dia tidak kisah dikecam menjadi penyanyi dangdut, sebaliknya menjadikan kecaman itu sebagai komen yang membina sepanjang terbabit dalam industri seni. 

"Saya berdiri pun orang mengata disebabkan pakaian yang saya pakai dan penonton berpendapat saya ingin menunjuk bentuk badan, tapi sebenarnya tidak kerana itu sudah jadi lumrah dalam dunia dangdut," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 4:55 PM