RIZKY kini bernauang di bawah syarikat rakaman sendiri.
RIZKY kini bernauang di bawah syarikat rakaman sendiri.
Nurul Sabrina Jamali


NAMA Rizky Febian sememangnya sudah terkenal di persada seni muzik dengan keampuhan karyanya bukan sekadar berlegar di negara kelahiran Indonesia, sebaliknya turut mengharum di negara jiran.

Rizky atau nama sebenarnya Rizky Adriansyah Sutisna, 25, mula menapak dalam arena muzik sejak 2009 menerusi rancangan komedi situasi berjudul Awas Ada Sule.

Rizky juga berjaya menempa namanya dalam industri muzik Indonesia sejak 2015 menerusi lagu berjudul Perfection of Love.

Tidak cukup lagu yang dikeluarkan sebelum ini menjadi popular, anak kelahiran Bandung, Indonesia ini muncul kembali dengan single terbaharu berjudul Berona.

Lagu ini mengangkat kisah seorang jejaka yang sangat mencintai kekasihnya sehingga sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaannya.

Perasaan cinta yang mendalam itu membuatkan jejaka terbabit yakin untuk menjalani hubungan cinta bersama kekasihnya.

Sementara itu, lagu Berona bakal dilancarkan pada 21 Julai ini bersama dengan tarikh pelancaran muzik videonya.

Mengulas mengenai lagu itu, Rizky berkata, konsep yang diketengahkan dalam muzik video Berona lambang kisah jejaka yang lahir dan dibesarkan di sebuah kampung pedalaman dan jatuh cinta dengan seorang gadis.

Walaupun mereka mampu bersatu buat sementara, namun kekasihnya meninggalkan dia untuk berhijrah ke bandar.

Muzik video Berona ini adalah kisah permulaan kepada konsep muzik video lagu dalam album Berona.

Rizky berkata, muzik video kedua bakal dilakonkan beberapa pelakon dan pelawak dengan pembabitan Rizky sendiri sebagai watak tritagonis.

Kini, Rizky berada di bawah syarikat rakamannya sendiri bernama RFAS Music yang ditubuhkan pada 2020.

Berkongsi lanjut, sejak penubuhan RFAS Music, Rizky dan pasukannya berjaya mengadakan tiga konsert iaitu di Bandung (2020) dan ketika pandemik (2021) serta di Kuala Lumpur (2022), kini Rizky membuat persiapan untuk album keduanya dan konsert luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 6:08 AM