SOPHIA muncul dengan single berjudul Nah yang juga hasil ciptaannya bersama Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.
SOPHIA muncul dengan single berjudul Nah yang juga hasil ciptaannya bersama Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.
Nurul Sabrina Jamali


NAMA Sophia Liana, 33, bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air. Dia mula bertapak dalam industri muzik tempatan menerusi penampilannya bersama kumpulan De Fam dan terus mengorak langkah seiring penyanyi sedia ada.

Membina jenamanya sendiri, Sophia berjaya menjadi satu-satunya rapper wanita yang ditandatangani di bawah Def Jam Malaysia.

Ternyata percaturannya cuba bergerak solo pada 2018 membuahkan hasil dan bermula titik itu, dia sudah bekerjasama bersama artis tempatan antaranya Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, Budak Ngam dan Harith Zazman.

Lebih membanggakan, Sophia atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri mula menggilap bakat dalam penciptaan lagu iaitu lagu pertama Supergirls bersama De Fam.

Terbaharu, Sophia muncul dengan single berjudul Nah yang juga hasil ciptaannya bersama Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.

Menurut Sophia, lagu Nah berkisar mengenai isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.

"Jika kita lihat sekarang ini, masyarakat lebih gemar menuding jari dan menyalahkan orang lain. Jadi, sikap itu menjadi terbiasa, malah ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab atas tindakan ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai single terbaharunya, Sophia berkata, proses penulisan lagu ini berjalan lancar disebabkan mereka sudah memperincikan kandungan apa yang diperlukan.

"Proses rakaman juga tidak mengambil masa lama dan mudah memilih rentak bersesuaian supaya lagu ini didengar dengan lebih menarik.

"Bukan itu saja, orang di sekeliling saya juga memberikan aura positif membuatkan saya begitu selesa di studio," katanya.

Mendapat bantuan daripada penyanyi Zizi Kirana dan Mambang dari aspek melodi terutama pada bahagian korus, Sophia berkata, dia mengambil masa satu hingga dua minggu sebelum ke studio untuk merakam demo terlebih dahulu.

"Sebelum ke studio, saya merakam demo di rumah dahulu, barulah pergi ke studio untuk menyelesaikan sesi rakaman sebenar.

"Dari situ, kami akan mempertimbangkan bahagian mana yang perlu ditambah baik dari aspek melodi dan lirik," katanya.

Sophia berkata, proses rakaman lagu Nah juga menyeronokkan lebih-lebih lagi ketika menjayakan penggambaran muzik video.

"Rakaman muzik video hanya mengambil masa satu hari disebabkan pengarah sudah tahu apa yang ingin dilakukan dan saya bersyukur semua orang bekerjasama dalam menjayakan rakaman lagu Nah," katanya.

Berkongsi lanjut, Sophia memaklumkan segala yang berkaitan dengan masa adalah cabaran dalam menjayakan single terbaharunya itu.

"Meskipun sukar untuk mengumpul semua yang terbabit dalam satu masa, tetapi semuanya berjalan lancar dan diselesaikan dengan baik," katanya.

Penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini juga pernah mewakili Malaysia ke Asean Korea Music Festival Round 2021 anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar Negara pada 9 Januari tahun lalu.

Dia mula aktif dalam dunia seni tanah air sejak 2015 sebagai penari, penyanyi, rapper, pelakon, pengacara dan penulis lirik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:30 AM