Pelancaran single Shatirah Amanda Langit Bukan Limit di Megan Avenue ll. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pelancaran single Shatirah Amanda Langit Bukan Limit di Megan Avenue ll. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Penyanyi muda, Shatirah Amanda, 23, sedia menerima kecaman netizen dalam usaha menaikkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Shatirah Amanda atau nama sebenarnya, Tengku Shatirah Amanda Tengku Ahmad Badrulddin berkata, setiap orang mempunyai pendirian masing-masing, jadi dia tidak boleh menghalang kecaman netizen.

"Bagi saya, netizen adalah individu yang lain, saya individu yang lain. Jadi, jika mereka rasa perkara itu bagus untuk mereka, kekalkan dan jika sebaliknya, saya tidak boleh menghalang apa mereka katakan," katanya yang bakal tampil dengan single berjudul Langit Bukan Limit dengan mempertaruhkan genre pop dan hip hop, komposer Mas Dewangga.

Berkongsi pengalaman menerbitkan lagu ini, Amanda berkata, lagu ini diilhamkan sendiri dan liriknya mengisahkan semangat wanita kental yang tidak mudah putus asa walaupun terpaksa berjuang sendiri demi mengejar cita-cita.

"Saya berharap lagu ini akan memberi semangat dan inspirasi kepada pendengar yang pernah melalui jalan hidup getir demi mencapai matlamat hidup," katanya.

Menurutnya, dia lebih memilih lagu yang berkonsepkan genre K-Pop disebabkan kebanyakan lagu genre itu akan menaikkan semangat pendengar.

"Insya-Allah, saya akan menerbitkan lebih banyak lagu yang boleh menaikkan semangat pada masa akan datang dengan berkonsepkan genre K-Pop," katanya.

Dalam pada itu, Amanda turut memaklumkan, dia banyak ditawarkan untuk masuk ke 'girl group', tetapi lebih memilih untuk bergerak solo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 2:57 PM