PUTRI Ariani cetus fenomena luar biasa.
PUTRI Ariani cetus fenomena luar biasa.
Nurul Sabrina Jamali


PENYANYI dari Indonesia, Putri Ariani terus menjadi perhatian dunia apabila lagu ciptaannya berjudul Loneliness dilaporkan media Indonesia bakal dibeli Simon Cowell berharga Rp 7 triliun (RM2.2 bilion).

Sekalipun mendapat perhatian luar biasa Putri Ariani tidak mahu alpa dalam mengejar cita-citanya, malah ibunya, Reni Alfianty menganggap apa pun berita baik yang membabitkan anak gadisnya itu dia sekeluarga bersyukur dan tumpang gembira.

Meskipun dilahirkan dengan cacat penglihatan, namun kehebatan vokal dan keupayaan bernyanyi sambil bermain piano di pentas America's Got Talent 2023 (AGT) sangat memukau barisan juri dan penonton.

Lebih mengagumkan apabila Putri Ariani atau nama sebenar Putri Ariani Nisma, 17, mendendangkan lagu ciptaannya bertajuk Loneliness di pentas pencarian bakat antarabangsa itu.

Mengulas lanjut mengenai kisahnya, selepas menghabiskan lagu pertamanya, juri, Simon Cowell meminta Putri menyampaikan satu lagi lagu dek kerana terpukau dengan kehebatannya.

Putri kemudian membawakan lagu Sorry Seems To Be Hardest Word yang dipopularkan oleh Sir Elton John yang mengasyikkan.

Turut terpegun dengan kemampuan peserta itu juri profesional lain antaranya Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel yang lantas memberikan tepukan gemuruh.

Menariknya, anak kelahiran Indonesia ini mendapat 'standing ovation' dan sorakan selepas tamat menyanyikan dua lagu pada malam itu.

Suara emasnya berhasil memukau Cowell sehingga bertindak menekan 'Golden Buzzer' selepas mendengar Putri

menyanyikan dua lagu.

MENYANYI sambil bermain piano di pentas AGT 2023.
MENYANYI sambil bermain piano di pentas AGT 2023.

Mengulas lanjut kata Putri, Loneliness yang dinyanyikannya dalam sesi uji bakat AGT adalah hasil ciptaannya sendiri pada Mei lalu.

Katanya, lirik lagu itu menceritakan bagaimana dia menerima dirinya sendiri disebabkan kekurangan yang dimiliki.

Menurutnya, dalam lirik itu, dia mengakui kecewa dengan individu yang sering memperlekehkannya hanya kerana dia tidak sempurna secara fizikal.

"Cabaran terbesar adalah apabila orang memandang saya hanya sebagai orang buta, bukan sebagai pemuzik. Tetapi, apabila menyanyi, saya berasakan diri ini seperti seorang 'superstar'.

"Impian saya ingin menjadi diva terkenal di dunia seperti Whitney Houston dan memenangi Grammy Award,"

katanya berhasrat berduet dengan penyanyi popular negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selain legenda Indonesia, Datuk Seri Rossa di mana kedua-duanya turut memuji bakat dimiliki Putri.

Dalam pada itu, Cowell turut dilihat memuat naik beberapa gambar Putri ketika menerima 'Golden Buzzer' menerusi akaun Instagram milik.

Hantaran yang dimuat naik itu turut dibanjiri komen positif dari seluruh dunia yang berbangga dengan pencapaian diraih gadis itu.

Terdahulu, Putri pernah mencetuskan fenomena di negara kelahirannya sendiri apabila memenangi pertandingan Indonesia's Got Talent 2014 pada usia lapan tahun.

Dia juga pernah melancarkan sebuah album studio bertajuk Melihat Dengan Hati serta hampir 20 single. Salah satu lagunya yang hit adalah Tak Mampu Lupa dilancarkan pada tahun lalu dan menerima kira-kira 11 juta penstriman di Spotify sehingga saat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 6:30 AM