Fatin Farhana Ariffin


Shah Alam: Jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 memberikan pelbagai ganjaran kepada pengunjung bertuah yang hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Antaranya, pengunjung berpotensi mendapatkan dua tiket ke malam kemuncak ABPBH 35 dengan melanggan akhbar BH berharga RM125 untuk tempoh setahun.

Namun, pengunjung yang berminat perlu hadir secepat mungkin kerana hanya 30 tiket ditawarkan sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Pengunjung yang hadir di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri
Pengunjung yang hadir di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri

Peminat bertuah akan ke malam kemuncak ABPBH 35 pada 21 Julai depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tidak hanya itu, pengunjung juga boleh mendapatkan barangan eksklusif sempena ABPBH 35 seperti kemeja T, beg, payung, buku nota, pen, kipas tangan dan pelbagai barangan lain yang dijual dengan harga berpatutan.

Pengunjung menyertai aktiviti diadakan di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri
Pengunjung menyertai aktiviti diadakan di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri

Turut memeriahkan reruai atau 'booth' ABPBH 35 mulai jam 2 petang ini adalah persembahan Naufal Azrin, Khai Bahar dan Ismail Izzani.

Tidak ketinggalan, penampilan bekas Bintang Paling Popular ABPBH iaitu Datuk Aaron Aziz yang meraih trofi dambaan ramai itu sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2013.

Peminat juga berkesempatan bertemu calon awal ABPBH 35 seperti Idan Aedan, DD Chronicle, DJ Sonic, Izzue Islam, Haiza, Black TikTokers dan Les Sekichan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 2:02 PM