Iqbal Mazlan hilang penglihatan secara tiba-tiba sejak 5 Mac lalu.
Iqbal Mazlan hilang penglihatan secara tiba-tiba sejak 5 Mac lalu.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Diduga dengan hilang penglihatan hampir dua bulan lalu, pelakon, Iqbal Mazlan tidak mahu sambutan Aidilfitri tahun ini diselubungi dengan kesedihan.

Iqbal berkata, apa yang berlaku membuatkannya lebih menghargai orang di sekelilingnya.

"Menjelang Aidilfitri kali ini, nak sedih sangat pun tak boleh juga sebab dua minggu pertama ketika saya di hospital, memang saya dah cukup bersedih.

"Apa yang berlaku membuatkan saya sedar bahawa saya dikelilingi oleh orang-orang yang sayangkan saya dan sentiasa buatkan saya tak bersedih.

"Ada kawan-kawan yang selalu tenangkan saya dan ada tunang yang selalu ada," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, satu perkara yang membuatkannya bersedih adalah apabila memikirkan bapanya yang berniaga di bazar untuk mencari rezeki dalam keadaan yang juga kurang sihat.

"Yang buat saya sedih pun, bila saya fikirkan ayah saya yang berniaga di bazar. Dengan kakinya yang bengkak. Itu buatkan saya rasa macam diri saya tak berguna," katanya.

Ditanya lagi mengenai Aidilfitri tahun ini, Iqbal berkata, persiapannya dibuat secara sederhana.

"Aidilfitri tahun ini pula, ada satu inisiatif untuk kami beraya secara sederhana. Jadi, saya pun tak berbelanja sangat. Yang penting, saya dapat peluk anak dan ibu bapa saya, itu sudah memadai.

"Bukanlah tak ada semangat untuk beraya, cuma perasaannya sama seperti ketika kita semua beraya di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, di mana, tak rasa nak beraya.

"Biasanya saya balik ke Negeri Sembilan. Tahun ini, saya akan beraya bersama ayah di Klang saja," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai Iqbal yang hilang penglihatan secara tiba-tiba pada 5 Mac lalu dan dirawat di Hospital Shah Alam.

Terbaharu, Iqbal bakal muncul dengan filem yang mengangkat tema cintakan haiwan hasil kerjasama Art Ornament Sdn Bhd, Amanah, Persatuan Suara Haiwan Malaysia, Bigshot Entertainment dan Adverthype.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 4:27 PM