IQBAL Mazlan
IQBAL Mazlan
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Saya masih tidak dapat melihat apa-apa, semuanya gelap-gelita," kata pelakon, Iqbal Mazlan, 33, yang masih belum pulih akibat jangkitan virus di matanya sejak 4 Mac lalu.

Iqbal berkata, walaupun sudah dibenarkan pulang, tetapi dia masih bergantung dengan ubat bagi melawan virus berkenaan.

"Walaupun doktor memaklumkan saraf saya sedang pulih tetapi saluran darah mata sudah terlalu kecut sampai kelabu.

"Jika diikutkan saya sudah boleh melihat tetapi sistem mata belum pulih lagi. Jadi, saya masih bergantung dengan ubat melawan virus dan steroid sebanyak 12 biji sehari," katanya kepadanya Harian Metro.

Iqbal berkata, dia kini 'patah kaki' apabila bapanya juga tidak dapat bekerja kerana membantunya untuk bergerak.

"Doktor ada sebut selepas ini kos ubat kira-kira RM700 hingga RM800 setiap bulan. Mana saya hendak mencari duit, saya memang memerlukan bantuan. Mana nak bayar rumah, kereta, apatah lagi kita bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Iqbal berkata, tunangnya ada menghubungi beberapa yayasan untuk mendapatkan bantuan, namun belum ada apa-apa maklum balas lagi.

"Hidup saya ketika ini masih lagi bergantung kepada bantuan orang ramai menerusi wakaf. Cuma kebanyakkan masa saya di rumah kerana pergerakan terhad. Saya berlapang dada sekiranya ada pihak yang ingin membantu.

"Biarpun diduga dengan ujian sebegini, namun saya tidak sangka masih ramai yang mengenali saya dan mendoakan saya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas kebaikan semua pihak," katanya.

Iqbal yang juga juara program Pilih Kasih musim pertama pada 2009 berkata, dia tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti virus itu dan kini berharap penglihatannya kembali pulih.

"Saya turut mencuba rawatan Islam tetapi apa yang mampu dilakukan. Saya tidak boleh berpuasa kerana masih bergantung kepada ubat, namun Insya-Allah apabila sihat nanti saya akan ganti," katanya.

Pada pagi 4 Mac lalu, Iqbal pada mulanya mengalami masalah kabur pada sebelah mata. Selepas Maghrib, sebelah lagi matanya kabur dan keesokannya, kedua-dua belah matanya tidak lagi boleh melihat.

Dia mulanya ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun kemudiannya dirujuk ke Hospital Shah Alam dan dimasukkan ke dalam wad di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 1:46 PM